Nanta meninjau Jambatan Nanga Tisa runtuh akibat hakisan tanah ketika hujan lebat 4 Mac lalu. FOTO Ihsan FB Alexander Nanta Linggi
Nanta meninjau Jambatan Nanga Tisa runtuh akibat hakisan tanah ketika hujan lebat 4 Mac lalu. FOTO Ihsan FB Alexander Nanta Linggi
Mohd Roji Kawi


Kuching : Laluan sementara dibina bagi membolehkan penduduk keluar masuk dari kawasan rumah panjang di Sungai Yong, Kapit, yang terputus hubungan selepas jambatan di kawasan itu runtuh.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Jambatan Nanga Tisa runtuh akibat hakisan tanah ketika hujan lebat 4 Mac lalu.

Menurutnya, berikutan kejadian itu, penduduk dari dua rumah panjang tidak dapat keluar ke tempat lain.

"Lencongan dibina bagi membolehkan aktiviti keluar masuk penduduk dari dan ke kawasan rumah panjang sementara kerja-kerja membaiki jambatan dijalankan.

"Ketika ini kerja-kerja penilaian struktur tanah bagi pelaksanaan kerja pembaikan sedang dijalankan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit turut meninjau lokasi kejadian semalam bagi melihat sendiri keadaan jambatan yang runtuh itu.

"Saya sudah berhubung dengan pihak Jabatan Kerja Raya Negeri Sarawak untuk menyegerakan kerja pembaikan agar penduduk di sekitar Sungai Yong ini dapat menikmati kemudahan jalan yang lebih selesa sebelum perayaan Hari Gawai tiba.

Saya juga ingin menasihatkan semua penduduk agar mematuhi arahan pihak berkuasa dan sentiasa berwaspada dengan tanda halangan jalan yang diletakkan oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini," katanya.

Nanta turut melawat Rumah Panjang Ngelai yang baru siap dibina di Nanga Tisa, Sungai Yong yang dihuni 38 keluarga.

"Dalam lawatan itu, saya meluluskan sumbangan RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Panjang Ngelai.

"Saya turut menyumbang RM1,000 bagi setiap keluarga di rumah itu dengan jumlah keseluruhan RM38,000. Saya berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu semua keluarga menambah keselesaan di rumah masing-masing," katanya.

Beliau kemudiannya mengadakan lawatan ke Sungai Yut, Kapit untuk meninjau keperluan penduduk di kawasan itu.

"Ketika berkunjung ke Rumah Panjang Ngindang di Sungai Sut, saya meluluskan geran sebanyak RM113,000 untuk pelbagai kegunaan penduduk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 1:17 PM