GAMBAR yang tular di media sosial
GAMBAR yang tular di media sosial
Samadi Ahmad


Putrajaya: "Saya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan sensitif untuk mempersendakan rakyat ketika berhadapan kesusahan," kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Nanta berkata, beliau menafikan sekeras-kerasnya kenyataan seperti di dalam gambar yang ditular di media sosial.

Menurutnya, sebagai seorang yang datang dari kawasan pedalaman di Kapit, Sarawak, isu seperti ini sememangnya amat dekat di hatinya dan bukanlah sesuatu yang boleh dipermainkan.

Katanya, beliau dan semua warga kementerian amat mengambil serius isu kenaikan harga barangan yang menekan rakyat.

"Sebagai menteri yang bertanggungjawab sudah tentu saya sentiasa berusaha mencari jalan penyelesaian bagi isu seumpama ini," katanya yang kenyataan di Facebooknya hari ini.

Hari ini tular di media sosial memaparkan gambar dan kenyataan beliau menyatakan kerajaan menggesa rakyat memakan itik sementara kerajaan mengkaji kenaikan harga ayam.

Nanta Linggi berkata, usaha ini memerlukan sedikit masa kerana membabitkan pelbagai kementerian dan agensi lain sebelum kerajaan dapat memberikan satu penyelesaian yang memberikan manfaat kepada semua pihak yang terbabit.

Katanya, isu kenaikan harga barangan ini sememangnya membelenggu dunia, bukan sahaja Malaysia akibat kesan penularan wabak Covid-19 yang telah melumpuhkan aktiviti ekonomi.

"Saya mohon kepada semua Keluarga Malaysia agar tidak mengeruhkan lagi keadaan dengan menyebarkan perkara berunsur fitnah seperti ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 9:12 PM