ELKE (kiri) bersama Meiyin mengambil peluang mengunjung bazar membeli makanan pada tinjauan orang bukan Muslim yang turut membeli makanan di Bazar Ramadan Seksyen 13, Shah Alam. FOTO Aswadi Alias
ELKE (kiri) bersama Meiyin mengambil peluang mengunjung bazar membeli makanan pada tinjauan orang bukan Muslim yang turut membeli makanan di Bazar Ramadan Seksyen 13, Shah Alam. FOTO Aswadi Alias
Nurul Najwa Mohd Noordin dan Nor Syazrina Muhamad Tahir

Shah Alam: Kepelbagaian menu di bazar Ramadan bukan sahaja ditunggu-tunggu mereka yang berpuasa, tetapi juga masyarakat bukan Islam bagi mencari juadah pilihan mereka.

Tinjauan Harian Metro di bazar Ramadan Seksyen 13, di sini, semalam mendapati pengunjung bukan Islam turut teruja untuk mencuba pelbagai juadah enak termasuk makanan tular.

Lelaki dikenali sebagai Premkumar, 40, berkata dia dan isteri Shakila Menon, 33, akan membelanjakan kira-kira RM100 untuk membeli pelbagai juadah di bazar Ramadan. 

"Kami tahu ada makanan viral yang dijual di sini, jadi kami teruja untuk mencubanya.

"Ini adalah bazar ketiga kami (datang) selepas pergi bazar di kawasan Kota Damansara dan Subang," katanya.

Katanya, mereka pasti tidak akan melepaskan peluang untuk berkunjung ke bazar Ramadan berbeza pada setiap tahun untuk merasai kemeriahan suasana.

PREMKUMAR bersama isterinya, Shakila Menon dan anak-anak mengambil peluang membeli makanan di Bazar Ramadan Seksyen 13, Shah Alam. FOTO Nor Syazrina Muhamad Tahir
PREMKUMAR bersama isterinya, Shakila Menon dan anak-anak mengambil peluang membeli makanan di Bazar Ramadan Seksyen 13, Shah Alam. FOTO Nor Syazrina Muhamad Tahir

Pekerja kewangan Mei Yin, 30, berkata dia sanggup berpanas semata-mata mahu membeli apam balik kegemarannya. 

"Ini bukan kali pertama saya berkunjung ke bazar Ramadan, kerana tahun sebelumnya juga saya sering datang bersama keluarga untuk merasai suasana di bulan Ramadan," katanya.

Rakan sekerjanya, Elke, 26, pula berkata dia cukup menggemari untuk mencuba kuih-muih tradisional yang dijual.

"Saya amat suka kuih tradisional seperti tepung pelita dan onde-onde.

"Bukan itu sahaja, saya juga akan membuat kajian berkenaan makanan viral di bulan Ramadan dan akan membelinya bila tiba di bazar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2024 @ 4:38 PM