NOOR Alfian dipenjara sehari dan didenda RM4,000 atas kesalahan melakukan pemerasan dan mencederakan pegawai bomba. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
NOOR Alfian dipenjara sehari dan didenda RM4,000 atas kesalahan melakukan pemerasan dan mencederakan pegawai bomba. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara sehari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas kesalahan melakukan pemerasan wang dan mencederakan pegawai bomba yang didakwa menjadi punca penceraian rumah tangganya.

Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap Noor Alfian Noor Latiff, 25, selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didapati dengan sengaja melakukan pemerasan terhadap Mohamad Faisal Fuad, 35, dengan niat menakutkannya untuk dikenakan tindakan dilaporkan kepada ketua jabatannya.

Tindakan itu secara tidak jujur mendorong mangsa menyerahkan wang keseluruhan berjumlah RM19,250 kepada tertuduh di sebuah rumah di Taman Bukit Katil Permai, Bukit Katil, dekat sini, kira-kira jam 9 malam, 17 Oktober 2023.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Noor Alfian juga didapati dengan sengaja memukul dan menumbuk mangsa sehingga menyebabkan kecederaan di taman perumahan sama pada jam 4.21 petang, 3 Mac lalu.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 323 KK dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana perlu menanggung seorang anak serta ibu dan adik-beradiknya yang masih bersekolah.

Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM3,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar bagi pertuduhan pertama dan denda RM1,000 atau penjara sebulan bagi pertuduhan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2024 @ 4:25 PM