KEADAAN kereta mangsa yang remuk selepas bertembung lori di Jalan Apas, Tawau. FOTO Ihsan Bomba.
KEADAAN kereta mangsa yang remuk selepas bertembung lori di Jalan Apas, Tawau. FOTO Ihsan Bomba.
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Dua lelaki maut selepas kereta dinaiki bertembung dengan lori di Batu 22, Jalan Apas, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 5.50 pagi itu, pemandu kereta, Norman Norjan, 19, meninggal dunia ketika dirawat di Jabatan Kecemasan Hospital Tawau, manakala rakannya, Muhammad Sahrul Isa, 20, maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati kereta dinaiki mangsa dari arah Semporna menuju ke pusat bandar hilang kawalan sebelum terbabas.

"Ia kemudian bertembung lori di laluan bertentangan menyebabkan kereta rosak teruk di bahagian hadapan. Pemandu lori bagaimanapun hanya cedera ringan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata, sebuah jentera dengan sembilan anggota ke lokasi sebaik menerima panggilan pada 5.47 pagi.

Katanya, terdapat dua mangsa tersepit dalam kereta Perodua Viva dan pasukan segera mengeluarkan mereka sebelum diserahkan kepada petugas kesihatan.

Menurutnya, operasi tamat pada 6.53 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2024 @ 5:38 PM