KANAK-KANAK 12 tahun yang diselamatkan dalam Ops Kutip di Pasar Borong Kuala Lumpur. FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
KANAK-KANAK 12 tahun yang diselamatkan dalam Ops Kutip di Pasar Borong Kuala Lumpur. FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Buruh kasar berusia 12 tahun diselamatkan dalam Ops Kutip di Pasar Borong Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Ketika ditemukan, kanak-kanak lelaki yang tidak mampu bertutur dalam Bahasa Melayu itu bekerja memunggah barangan seperti sayuran dan ikan ke dalam sebuah lori.

Kanak-kanak lelaki berbangsa India itu bagaimanapun mampu bertutur dalam Bahasa Tamil dan mengakui masuk ke Malaysia melalui jalan darat, dua bulan lalu.

Mangsa dipercayai 'tersesat' ribuan kilometer daripada keluarganya di Myanmar demi mencari rezeki di Malaysia, malah kanak-kanak itu percaya yang kemasukannya mengikut jalan darat adalah sah.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur mendapati tiada sebarang dokumen perjalanan ditemukan padanya.

Menurutnya, dia masuk melalui utara tanah air menerusi sempadan Thailand selepas membayar kira-kira 4 juta Kyat atau kira-kira RM9,000 kepada seorang ejen yang berjanji menyediakan segala dokumen perjalanan untuk dirinya bekerja.

"Saya kerja di sini sejak dua bulan lalu. Ikut lori, susun barang sayur dan lain-lain ke dalam lori dan dapat upah RM40 sehari.

"Di kampung, ibu bapa hanya bekerja menternak kambing untuk menyara kami dua beradik. Saya anak sulung dan ada seorang adik perempuan," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan di sini awal pagi tadi.

WAN Mohammed Saupee. FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
WAN Mohammed Saupee. FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Katanya, dia tinggal di kawasan berhampiran dan mula bekerja 12 tengah malam sehingga 6 pagi, malah mangsa mengakui bercadang untuk terus menetap di Malaysia.

Sementara itu, Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, kanak-kanak itu antara 38 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditahan dalam operasi berkenaan.

Katanya, kanak-kanak berkenaan akan dibawa ke pejabat JIM Kuala Lumpur untuk dibuat semakan rekod dan akan diserahkan kepada pihak berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai operasi itu, beliau berkata, operasi itu dijalankan hasil risikan pihaknya di lokasi berkenaan selama satu minggu.

"Kita lancarkan operasi untuk mengesan majikan dan pekerja Pati yang bekerja secara haram dan menahan seramai 38 warga asing.

"Tangkapan membabitkan tujuh lelaki dan dua wanita Indonesia, lelaki Bangladesh (dua), lelaki Myanmar (26) dan seorang kanak-kanak warga Myanmar yang bekerja di sini," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan di sini, hari ini.

Kesemua Pati terbabit ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2024 @ 9:46 AM