Penduduk Kampung Masjid Lama,  menunjukkan tebing sungai yang berlaku hakisan yang didakwa akibat aktiviti menyedut pasir di Sungai Muda, Jeniang awal Januari lalu. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Penduduk Kampung Masjid Lama, menunjukkan tebing sungai yang berlaku hakisan yang didakwa akibat aktiviti menyedut pasir di Sungai Muda, Jeniang awal Januari lalu. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kerajaan negeri menafikan terdapat kesan runtuhan tebing berlaku di kawasan aktiviti kuari pasir di Sungai Muda, Jeniang di Kuala Muda dekat sini, seperti yang didakwa penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Alam Sekitar negeri, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria berkata, semakan keseluruhan ke atas kuari itu mendapati, ia mematuhi peraturan mengikut Kanun Tanah Negara (Akta 828) Seksyen 426 dan pekeliling Pengarah Tanah dan Galian.

"Semasa lawatan tapak dijalankan, kuari tidak beroperasi sepenuhnya dan hanya menjalankan kerja-kerja mengepam pasir di dalam Sungai dan kerja-kerja di dalam tapak 'stokfile' (simpanan) .

"Tiada kesan runtuhan tebing berlaku di kawasan sekitar, bahan batuan pasir sungai tidak diangkut keluar semasa lawatan tapak dijalankan," katanya pada kenyataan, di sini.

Beliau berkata, pemohon baru menjalankan operasi mengepam pasir sungai selama empat hari dan terdapat anggaran baki simpanan pasir sebanyak 500 meter padu atau 50 buah lori.

Terdahulu, media melaporkan, penduduk di Kampung Masjid Lama, Jeniang di Kuala Muda mendakwa aktiviti menyedut pasir di Sungai Muda menyebabkan berlakunya pencemaran dan hakisan yang serius.

Penduduk juga bimbangkan keselamatan diri apabila hakisan tebing menghampiri kawasan rumah, kubur dan masjid.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2024 @ 3:29 PM