GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Suraya Roslan


Ampang: Padah gagal menjaga keperluan seekor anjing sehingga haiwan itu mencederakan jiran, seorang mekanik didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob menjatuhkan hukuman itu ke atas pemilik anjing, Yee Chan Fai, 37, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah kerana gagal mengambil langkah munasabah untuk memastikan keperluan haiwan itu dipenuhi sehingga menyebabkan kecederaan di sebuah rumah di Taman Saga di sini, pada 9 pagi, 24 Mei 2022.

Bapa dua anak itu didakwa mengikut Seksyen 24 (1)(a)(v) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(3) akta sama yang membawa hukuman denda minimum RM15,000 dan tidak lebih RM75,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah turut memerintahkan OKS dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Wan Mohd Norisham berkata, lelaki itu seharusnya mengawal dan mengikat anjingnya di dalam pagar rumah supaya tidak mencederakan orang awam.

"Haiwan ini tidak boleh bercakap, kamu seharusnya tidak menganiaya dan mengabaikannya. Anjing itu milik kamu, kamu biar pagar terbuka sehingga ia mengejar dan mencederakan orang lain.

"Dalam kes ini, pengadu yang juga mangsa turut cedera dan alami kerugian kerana perlu membayar denda. Anjing kamu pun dicederakan kerana sifat cuai kamu," kata hakim itu.

Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor Mohd Sharif Sabran memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap OKS mengambil kira faktor keselamatan orang awam dan sebagai pengajaran kepada pemilik anjing yang lain.

"Pengadu (jiran) sebelum ini sudah didenda RM23,000 kerana memukul anjing itu, tidak termasuk kos guaman dan kos perubatan yang perlu ditanggung beliau. Mohon mahkamah turut mengambil kira faktor ini," katanya.

Peguam Wan Nur Afifah Che Bakar yang mewakili OKS memohon hukuman berbentuk denda ringan atas alasan anak guamnya menanggung ibu bapa, kakak serta dua anak berusia enam dan lapan tahun.

"OKS tidak pernah disabitkan atas sebarang kesalahan sebelum ini dan dia sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama di masa akan datang," katanya.

Mengikut fakta kes, pengadu melarikan diri ketika diserang anjing kepunyaan OKS sehingga beliau terjatuh dan mengalami kecederaan di bahagian lutut, siku selain lebam di bahagian muka.

Pengadu kemudian mengejar semula anjing itu sebelum memukulnya dengan sebatang kayu sehingga ia berdarah di bahagian ekor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 12:47 PM