Nancy Shukri.
Nancy Shukri.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, menyifatkan pemergian Tun Abdul Taib Mahmud ibarat kehilangan seorang guru baginya.

Ini kerana katanya, Allahyarham adalah individu yang bertanggungjawab membawanya ke arena politik.

"Secara peribadi, kenangan yang tidak akan lupa adalah Allahyarham insan yang pertama telah mengajar saya menyertai bidang politik iaitu sebagai ahli Parlimen pada tahun 2008 sehinggalah sekarang.

"Pemergiannya satu kehilangan besar bukan sahaja buat Sarawak, malah juga negara malah saya secara peribadi kerana menerima banyak tunjuk ajar beliau," katanya dalam kenyataan ringkas, hari ini.

Nancy berkata, Allahyarham mengabdikan sepanjang perjalanan hidupnya untuk membangun dan mensejahterakan Sarawak.

"Hanya Allah sahaja yang mampu membalas segala jasa dan bakti Allahyarham kepada rakyat Sarawak," katanya.

Abdul Taib menghembuskan nafas terakhir pada usia 87 tahun di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur, pada 4.28 pagi tadi.

Jenazah Allahyarham diuruskan di Masjid Negara, Kuala Lumpur, sebelum diterbangkan ke Kuching, petang ini.

Jenazah Allahyarham dijangka tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuching pada 3.30 petang.

Selepas itu jenazah akan ditempatkan di kediamannya di Demak Jaya dan dibawa ke Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak pada 8 pagi esok untuk penghormatan terakhir.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Demak Jaya, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 10:24 AM