SEBUAH kereta Mercedes Benz yang musnah dalam kebakaran di Jalan Laguna, Kampung Pulau Tiga, Kuala Muda. FOTO Ihsan JBPM
SEBUAH kereta Mercedes Benz yang musnah dalam kebakaran di Jalan Laguna, Kampung Pulau Tiga, Kuala Muda. FOTO Ihsan JBPM
Zuliaty Zulkiffli

Sungai Petani: Pemandu Mercedes Benz sempat keluar bagi menyelamatkan diri apabila kenderaan terbakar di Kampung Pulau Tiga, Kuala Muda, di sini hari ini.

Ia adalah kejadian kedua membabitkan kereta jenama sama dalam tempoh kurang 24 jam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Aman Jaya Azahari Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 12.24 tengah hari.

Menurutnya, sepasukan anggota dari BBP Aman Jaya diketuai Fakhrul Razi dihantar ke lokasi dengan dibantu anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Semeling dan PBS Bedong.

"Setibanya di lokasi, didapati kebakaran itu membabitkan kereta Mercedes Benz yang musnah 80 peratus dan ketika kejadian tiada mangsa di dalam kenderaan terbabit.

"Api berjaya dipadam sepenuhnya dan operasi tamat pada 1.04 tengah hari. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan, di sini.

Dalam kejadian semalam, seorang lelaki dan wanita sempat menyelamatkan diri apabila keluar dari Mercedes Benz CFA 200 yang terbakar di Kilometer 82.0 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Gurun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2024 @ 4:58 PM