RAJA Mohd Taufiq Raja Kamarulzaman membaca talkin selepas menyempurnakan pengebumian jenazah ibunya. FOTO Tangkap Layar TikTok
RAJA Mohd Taufiq Raja Kamarulzaman membaca talkin selepas menyempurnakan pengebumian jenazah ibunya. FOTO Tangkap Layar TikTok
Redzuan Muharam


Ampang Jaya: "Saya bukanlah pelajar pondok atau tahfiz, cuma emak pesan dan minta saya siap sedia dan belajar uruskan jenazahnya suatu hari nanti.

"Oleh itu saya janji dengan diri saya untuk belajar hingga dapat bantu sempurnakan urusan pengebumian emak," kata Raja Mohd Taufiq, 30.

Eksekutif pemasaran itu mendapat perhatian hingga meruntun hati warganet selepas berkongsi video sewaktu dia membaca talkin di TikTok.

Menerusi video itu, kelihatan Raja Mohd Taufiq tidak dapat menahan kesedihan selepas membaca talkin di majlis pengebumian ibunya, Sarifah Saibani yang meninggal dunia pada 2 Februari lalu.

Menyingkap isi hatinya, Raja Mohd Taufiq mengakui berat untuknya menerima pemergian ibunya yang meninggal dunia akibat darah tinggi, diabetes dan angin ahmar namun tiada pilihan melainkan akur dengan ketentuan Ilahi.

Disebabkan itu, air mata Raja Mohd Taufiq gugur juga walaupun dapat menahannya sebelum tiba di tanah perkuburan.

"Memang sedih bila dapat tahu emak meninggal dunia namun terkawal lagi, malah waktu hantar jenazahnya ke kampung untuk diuruskan, saya masih rasakan emak masih ada.

"Cuma waktu mengimamkan solat jenazah, lihat jasad emak di depan dan bukan lagi jadi makmum di belakang seperti selalu hingga hampir hilang fokus kerana ketika itu saya mula sedar emak sudah tiada.

"Ketika di tanah perkuburan pula, saya tawarkan diri baca talkin mengingatkan pesan emak. Pada awalnya perasaan saya masih terkawal, tapi apabila menyebut nama emak sebagai ahli alam barzakh, saya mula menangis.

"Ia kerana sudah tiba masanya ketika itu untuk ucapkan selamat tinggal buat syurga saya (emak) seterusnya hilang orang yang sayangkan saya, selalu doakan saya dan doa paling tulus," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Di sebalik kesedihan itu, Raja Mohd Taufiq mengakui bersyukur kerana diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk menjaga dan menguruskan ibunya sejak diserang angin ahmar sebelah kanan badan dua tahun lalu sebelum lumpuh satu badan hingga menghembuskan nafas terakhir.

Katanya, dia juga lega apabila dapat melaksanakan tanggungjawab menguruskan jenazah ibunya daripada awal hingga selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bagan Tunjang, Sabak Bernam.

"Alhamdulillah, emak pergi hari Jumaat. Ramai yang ingin membantu uruskan jenazah termasuk Pertubuhan Sentuhan Setia Kasih yang bantu bawa uruskan jenazah dan bawa pulang ke kampung tanpa ambil bayaran.

"Dalam perjalanan ke kubur hujan renyai namun tiba di tanah perkuburan, cuaca redup saja dan saya dapat rasakan segala urusan pemergian emak ke negara abadi dipermudahkan," katanya yang tinggal di Taman Putra Sulaiman, di sini.

Raja Mohd Taufiq berterima kasih kepada semua yang membantu dan mendoakan kesejahteraan Allahyarham ibunya walaupun tidak mengenali mereka sekeluarga.

"Tujuan saya kongsi video di TikTok adalah mengharap doa mereka yang menonton untuk sedekahkan al-Fatihah buat emak dan Alhamdulillah, ramai doakan.

"Saya hargainya kerana doa itu sangat berharga berbanding duit dan diharap, mereka yang menonton video saya akan terus berbakti kepada ibu bapa selagi masih ada," katanya yang juga anak bongsu daripada tiga beradik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 1:44 PM