DUA anggota Geng Pian dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
DUA anggota Geng Pian dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Dua anggota 'Geng Pian' didakwa di tiga Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas lima pertuduhan melakukan samun dan rompakan berkumpulan dengan menggunakan sebilah pisau terhadap empat individu serta sebuah syarikat farmasi, pada Disember tahun lalu.

Juruteknik pendawaian bebas, Mohd Sufian Wahab, 39, dan pemandu van, Mohd Sahuri Hassim, 39, mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Norina Zainol Abidin, dua pertuduhan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali dan satu pertuduhan depan Hakim Datuk Nu'aman Mahmud Zuhudi.

Mereka didakwa bersama-sama melakukan kesalahan samun berkumpulan terhadap seorang lelaki berusia 31 tahun dengan menggunakan sebilah pisau di pekarangan mesin juruwang automatik (ATM) Bank Hong Leong di Jalan Kepong di sini, pada 8 malam, 27 Disember tahun lalu.

Bagi empat lagi pertuduhan, dua sahabat itu didakwa bersama-sama melakukan rompak berkumpulan bersenjatakan sebilah pisau terhadap seorang lelaki berusia 54 tahun sebanyak RM4,300, wang tunai RM780 milik seorang lelaki dan RM3,650 milik sebuah syarikat farmasi dan wang sebanyak RM100 serta sebentuk cincin emas milik seorang lelaki.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di pekarangan mesin CDM Bank HSBC Rampai Business Park, di mesin ATM Bank Of China di Plaza OSK di Jalan Ampang, antara 9.05 malam dan 9.40 malam, tarikh sama, di ATM Public Bank di Jalan Pudu, di pekarangan ATM Bank Hong Leong di Jalan Kepong, antara 5.30 petang dan 5.40 petang pada 16 Disember 2023.

Pertuduhan itu dilakukan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan dihukum di bawah seksyen sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika disabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ngoh Jess Lynn, Nidzuwan Abd Latif dan Illya Syaheedah Mohd Razif masing-masing mencadangkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan melapor diri di balai polis berhampiran sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, Kelvinder Singh Deo yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan rendah kerana mereka menanggung keluarga.

Ketiga-tiga mahkamah kemudiannya membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM34,000 dengan seorang penjamin dan melapor diri di balai polis berhampiran sehingga kes selesai dan menetapkan 5 Mac ini untuk sebutan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2024 @ 4:56 PM