GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Polis Kontinjen Selangor membuka enam kertas siasatan berhubung kes penipuan dalam talian yang menggunakan dokumen palsu Angkatan Pertahanan Awam (APM) Selangor.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis membuka kertas siasatan berhubung kes terbabit mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Sejak awal Januari, polis menerima enam laporan polis di Kajang, Petaling Jaya, Serdang, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam berkaitan penipuan itu.

"Siasatan mendapati, kerugian keseluruhan bagi enam kes terbabit yang dicatatkan setakat ini berjumlah RM156,225," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Hussein berkata, berdasarkan modus operandi, suspek menghubungi mangsa melalui talian telefon menggunakan aplikasi WhatsApp dan menyamar sebagai kakitangan APM Selangor.

"Suspek menawarkan kerja pembekalan dan perolehan dengan menghantar surat tender projek menggunakan kepala surat Kementerian Pembangunan Dan Kerajaan Tempatan ditandatangani Pengarah APM Selangor yang didapati palsu.

"Selepas mangsa bersetuju, mangsa diminta membekalkan barang dan peralatan yang terdapat dalam tender dengan kadar segera dan diarahkan memasukkan wang ke akaun bank diberikan suspek secara atas talian.

"Mangsa membuat semakan dengan APM Selangor, mendapati dokumen itu palsu dan tawaran tender terbabit tidak wujud," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 7:07 PM