FAROK (dua kanan) disaksikan Mohd Nurkhuzaini (tiga kanan) melihat enjin kereta elektrik pada pertunjukan jalanan mobiliti hijau, hari ini. FOTO Baharom Bakar
FAROK (dua kanan) disaksikan Mohd Nurkhuzaini (tiga kanan) melihat enjin kereta elektrik pada pertunjukan jalanan mobiliti hijau, hari ini. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri meminta semua agensi berkaitan banjir mengemukakan laporan kerugian dialami terutama membabitkan mangsa bencana alam itu bagi menyalurkan bantuan.

Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalal berkata kerajaan akan meneliti laporan termasuk kerosakan kediaman dan harta benda bantuan kepada mangsa banjir disalurkan.

Katanya, kerajaan melalui jawatankuasa bencana negeri sudah menyalurkan bantuan kewangan bagi membina dua kediaman mangsa banjir di daerah Kemaman minggu lalu.

"Kerajaan juga mengerahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menghantar bantuan bagi melakukan kerja pembersihan terutama di Kampung Shukur dan Kampung Raja, Hulu Dungun.

"Dua kampung itu terjejas teruk dilanda banjir gelombang keempat yang bermula 23 Januari lalu hingga awal bulan ini," katanya.

Terdahulu, Tengku Farok selepas menyaksikan pertunjukan jalanan mobiliti hijau bersama Gentari di perkarangan Wisma Darul Imam di sini, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri itu berkata, kerajaan akan meneliti keadaan semasa kewangan sebelum menyalurkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa banjir.

"Setakat ini kita gunakan wang daripada tabung bencana negeri termasuk yang disalurkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) sebanyak RM3.5 juta untuk membaikpulih kerosakan kediaman dan harta benda awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2024 @ 3:13 PM