Dr Asyraf ketika sidang media selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, WTC Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Dr Asyraf ketika sidang media selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, WTC Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Majlis Amanah Rakyat (Mara) memberi kelonggaran dan pilihan kepada ibu bapa pelajar baharu tingkatan satu dan empat di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) untuk membuat pendaftaran pada 13 Mac depan.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kelonggaran itu diberi bagi memberi kemudahan kepada ibu bapa yang berdepan kekangan untuk membuat pendaftaran pada tarikh asal yang ditetapkan iaitu pada 11 Mac.

"Ramai minta pendaftaran tingkatan satu dan empat MRSM dilewatkan sikit. Insya-Allah...selepas bincang dengan Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah Mara (BPM), saya setuju 13 Mac, iaitu hari ketiga selepas sesi persekolahan dibuka diberikan pilihan kepada ibu bapa yang punya masalah atau sebarang kekangan untuk menghantar anak-anak pada 11 Mac.

"Justeru, 11 Mac masih kekal sebagai hari pendaftaran awal untuk pelajar baharu tingkatan satu dan empat," katanya menerusi kenyataan di Fecebook beliau.

Menurutnya, bagi pelajar baru yang mahu mendaftar pada 11 Mac, juga dibolehkan.

"Pelajar-pelajar baharu tingkatan satu dan empat MRSM boleh daftar 11 Mac dan bagi yang punya masalah boleh juga daftar 13 Mac. Tiada masalah. Ini semua untuk memudahkan ibu bapa yang pertama kali mahu mendaftarkan anak-anak di MRSM kali ini," katanya.

Keputusan tawaran kemasukan untuk tingkatan satu dan empat MRSM bagi 2024 diketahui pada 18 Januari lalu, dengan Mara menetapkan tarikh pendaftaran bagi kemasukannya adalah pada 11 Mac depan.

Asyraf sebelum ini memaklumkan, MRSM tidak pernah mewujudkan polisi hanya pelajar miskin dibenarkan mendapat pendidikan di sekolah berkenaan, sebaliknya keutamaan diberikan kepada anak-anak golongan berpendapatan rendah.

Katanya, polisi Mara juga menetapkan kuota 60 peratus pelajar MRSM adalah dari golongan B40 dan selebihnya mereka yang lulus Ujian Kecenderungan Kemasukan ke MRSM (UKKM) dalam kalangan berpendapatan sederhana (M40) dan tinggi (T20).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2024 @ 2:21 PM