MOHAMMAD Yusri (kiri) diwakili peguamnya, Azura Ghazali dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas tuduhan pecah amanah dan menyalahgunakan wang bantuan berjumlah RM80,000, pada Mac 2017. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MOHAMMAD Yusri (kiri) diwakili peguamnya, Azura Ghazali dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas tuduhan pecah amanah dan menyalahgunakan wang bantuan berjumlah RM80,000, pada Mac 2017. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Bekas presiden kelab berbasikal di negeri ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan pecah amanah dan menyalahgunakan wang bantuan berjumlah RM80,000 pada Mac 2017.

Hakim Zaman Mohd Noor membuat keputusan itu pada akhir pendakwaan kes terbabit selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Mohammad Yusri Ismail, 48.

Zaman dalam penghakimannya berkata, beliau melepaskan dan membebaskan tertuduh tanpa perlu dipanggil membela diri.

"Pihak pendakwaan gagal membuktikan orang kena tuduh (OKT) sebagai pengerusi kelab yang sah," katanya.

Mengikut pertuduhan pindaan utama, tertuduh iaitu sebagai Presiden Kelab Berbasikal Darulnaim (DCC) yang diamanahkan dengan wang bantuan Pelan Induk Pembangunan dan DCC Talent Development Program 2017 berjumlah RM80,000 milik DCC didakwa melakukan pecah amanah jenayah iaitu menjadikan harta itu sebagai kegunaannya dan tidak melaksanakan program.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (KK) yang boleh dihukum penjara selama tidak lebih 20 tahun, sebat dan denda.

Bagi pertuduhan pindaan pilihan, tertuduh didakwa dengan curangnya menyalahgunakan wang bantuan berjumlah RM80,000 milik DCC untuk kegunaan sendiri.

Perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 KK yang membawa hukuman penjara enam bulan sehingga lima tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Mohammad Yusri didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Alor Pasir, Pasir Puteh pada 26 Mac 2017.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mariah Omar dan tertuduh diwakili peguam, Azura Ghazali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 1:40 PM