AL-SULTAN Abdullah dan Raja Permaisuri Agong ketika sesi temu bual bersama agensi media Malaysia di Istana Negara
AL-SULTAN Abdullah dan Raja Permaisuri Agong ketika sesi temu bual bersama agensi media Malaysia di Istana Negara
Oleh Sariha Mohd Ali


Kuala Lumpur: Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencadangkan kerajaan membenarkan Yang di-Pertuan Agong mewakili negara pada persidangan antarabangsa yang bersesuaian bagi membolehkan raja turut menyumbang kepada pembangunan negara.

Baginda bertitah, jika langkah itu dilakukan, ia bukan saja dapat membantu meningkatkan usaha memajukan negara, malah mampu memperkukuhkan institusi diraja Malaysia pada peringkat dunia.

Titah baginda, langkah itu dilihat sesuai dilaksanakan pada masa ini berbanding tugas formal Yang di-Pertuan Agong hanya mewakili negara bagi majlis kemangkatan atau pertabalan raja di luar negara.

"Kadang kala saya fikir, mesyuarat membabitkan ketua negara contohnya seperti Sidang Kemuncak Asean, Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) atau apa saja persidangan peringkat dunia, kerajaan juga wajar memberi pertimbangan supaya Yang di-Pertuan Agong dapat mewakili negara pada pentas antarabangsa.

"Langkah ini dapat memperkukuhkan simbol Yang di-Pertuan Agong supaya lebih dihormati di peringkat dunia dan cadangan saya ini juga terbuka untuk perbahasan sama ada sesuai atau sebaliknya.

"Bukan semua persidangan perlu dihadiri Yang di-Pertuan Agong, mungkin bagi perkara membabitkan perubahan iklim atau isu kemanusiaan contohnya, manakala perbincangan pentadbiran berkaitan kewangan atau keselamatan boleh terus diwakili Perdana Menteri atau menteri.

"Saya tidak boleh memberikan cadangan ini secara terperinci, tetapi ia boleh dipertimbangkan untuk masa akan datang sekali gus memberi imej baik untuk bangsa dan negara," titah baginda pada sesi bersama media di Istana Negara, sebelum menamatkan pemerintahan selama lima tahun berkuat kuasa hari ini.

Turut hadir, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Al-Sultan Abdullah memegang tampuk kepimpinan negara bermula 31 Januari 2019.

Sepanjang pemerintahan Al-Sultan Abdullah selama lima tahun, baginda mengadakan 25 lawatan ke luar negara termasuk ke Arab Saudi, United Kingdom, Brunei, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Monaco, Indonesia, Jordan dan Jepun; menerima tujuh lawatan negara ke Malaysia termasuk dari Korea, New Zealand, Monaco dan Filipina serta menerima 20 lawatan pembesar asing ke sini termasuk dari China, Thailand, Qatar dan UAE.

Al- Sultan Abdullah bertitah, kumpulan raja di negara ini juga sangat terpelajar dan mampu terbabit dalam membincangkan isu penting pada peringkat dunia.

Sementara itu, mengulas usaha memperkasa institusi Yang di-Pertuan Agong, baginda bertitah, ia penting bagi menyatupadukan rakyat berbilang kaum, agama dan bangsa, malah perlu diperkukuhkan untuk generasi akan datang.

"Institusi Agong ini perlu diperkukuh, bukan didewa-dewakan, sebaliknya ia perlu kekal memayungi rakyat dan pentadbiran.

"Kita bukan mahu lebih kuasa, tetapi anak muda khususnya perlu diberi pendidikan terutama di sekolah untuk mengetahui sejarah dan peranan raja serta kepentingan institusi ini menjaga keharmonian rakyat," titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2024 @ 8:31 AM