Timbalan Menteri Pertahanan mengadakan Lawatan Kerja ke Sabah dan memulakan lawatan pertama ke Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) semalam. FOTO Ihsan Facebook Adly Zahari
Timbalan Menteri Pertahanan mengadakan Lawatan Kerja ke Sabah dan memulakan lawatan pertama ke Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) semalam. FOTO Ihsan Facebook Adly Zahari
BERNAMA

Semporna: Kementerian Pertahanan akan membuat penambahan sistem radar di pantai timur Sabah bagi memperkukuh kawalan keselamatan sempadan laut negara.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata perkara itu sememangnya antara beberapa perkara yang akan diselesaikan melalui bajet kementerian itu pada tahun ini.

"Keperluan (radar) itu ada, kita juga akan melihat pos-pos pengoperasian dan peningkatan kepada sistem radar, kita juga akan memastikan bahawa kita dapat memenuhi keperluan sama ada dikehendaki tentera darat, tentera udara termasuk Angkatan Tugas Bersama (ATB 2)," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Adly memulakan lawatan kerja lima hari ke Sabah bagi meninjau kawasan operasi serta kem dan pangkalan tentera di pantai timur Sabah bermula semalam.

Menurut Adly, bajet kementerian itu pada tahun ini antaranya memberi keutamaan kepada keperluan pantai timur Sabah, di samping peningkatan pos-pos kawalan sempadan Sabah dan Sarawak.

"Banyak aspek Sabah yang kita beri keutamaan, kita tertumpu dengan kedaulatan negara tetapi juga terkait dengan pembangunan ekonomi dan sektor pelancongan," katanya.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan dalam kenyataan memaklumkan Adly turut menerima taklimat daripada Malaysia Maritime Command Centre berkenaan Trilateral Cooperation Arrangement iaitu kerjasama Malaysia, Indonesia dan Filipina.

Ia mengenai operasi rondaan termasuk pewujudan hotline komunikasi untuk memudahkan koordinasi semasa situasi kecemasan serta ancaman keselamatan di Area of Maritime Interest (AMI) membabitkan kawasan Laut Sulu serta Laut Sulawesi.

Kenyataan itu turut memberitahu projek rumah keluarga Angkatan tentera (RKAT) ATB 2 di Kem Kukusan, Tawau dengan pembinaan 144 unit rumah sejak 2021 dijangka siap pada Julai tahun ini.

Di samping itu, katanya terdapat beberapa projek pembangunan kementerian yang sedang dilaksanakan di pantai timur Sabah antaranya pembinaan kem tentera darat di Felda Sahabat, Lahad Datu dan pembinaan RKAT tambahan pelbagai kelas sebanyak 187 unit di Kem Kabota, Tawau.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 11:09 PM