MOHD Zolkafly (dua kiri) meninjau sawah padi penduduk yang diserang tikus. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauz
MOHD Zolkafly (dua kiri) meninjau sawah padi penduduk yang diserang tikus. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauz
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Parit Buntar: Kejadian tanah jerlus dan serangan tikus yang berlaku ke atas sawah padi di Kerian, di sini, dijangka akan dikategorikan sebagai bencana alam bagi membolehkan pesawah mendapat ganti rugi setimpal.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, isu tanah jerlus ini berlaku selama empat musim berturut-turut hingga menyebabkan hasil padi susut sehingga 80 peratus.

Menurutnya, lebih merumitkan apabila serangan tikus yang berlaku kira-kira 15 tahun lalu kembali berulang pada musim ini sehingga lebih 30 peratus tanaman padi di daerah ini musnah akibat diserang haiwan perosak itu.

"Kita sedia maklum mengenai tanah jerlus ini dan sebahagian pesawah kini putus asa untuk menanam padi apabila sudah empat musim kejadian ini berlaku.

"Justeru, Jabatan Pertanian Perak sudah mengemukakan cadangan ke peringkat kementerian untuk meletakkan kejadian tanah jerlus ini sebagai bencana dan begitu juga dengan serangaan tikus bagi membolehkan pesawah mendapat sedikit pampasan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas bertemu petani di Sungai Kota, Bagan Tiang, di sini, hari ini.

Katanya, Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) juga akan mengambil perhatian mengenai masalah tanah jerlus ini dan dijangka mengambil masa tiga hingga lima tahun untuk pulih.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 3:53 PM