MOHD Misuari pada sidang media  ketika sekatan jalan raya (SJR) dalam Ops Pengarah JPJ Kelantan di hadapan Akademi Pengangkutan Jalan Wilayah Timur. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MOHD Misuari pada sidang media ketika sekatan jalan raya (SJR) dalam Ops Pengarah JPJ Kelantan di hadapan Akademi Pengangkutan Jalan Wilayah Timur. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Syaherah Mustafa

Kota Bharu: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kelantan mengeluarkan 1,508 notis saman dengan kutipan bayaran saman serta denda mahkamah bernilai RM246,050 melalui Ops Pemandu Warga Asing (PEWA) sepanjang tahun 2023.

Pengarahnya, Mohd Misuari Abdullah berkata, jumlah berkenaan termasuk dengan sitaan 432 buah kenderaan pelbagai jenis di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Katanya, JPJ Kelantan meneruskan fokus pada tahun ini terhadap pemandu warga asing yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya selain mengenakan tindakan sewajarnya atas kesalahan terbabit.

"Kita juga akan mengambil tindakan terhadap pemilik kenderaan yang membenarkan warga asing tanpa lesen menggunakan kenderaan mereka selain yang menyalahgunakan Lesen Kenderaan Motor bagi tujuan perniagaan.

"Masyarakat dinasihatkan untuk tidak memberi sewa atau meminjamkan kenderaan kepada warga asing kerana ia adalah satu kesalahan dan boleh didakwa di mahkamah.

"Tambahan pula, tindakan pemilik kenderaan yang mengaut keuntungan hasil daripada menyewakan kenderaan kepada golongan terbabit turut merugikan kerajaan," katanya dalam sidang media selepas selepas menyertai Ops Pengarah JPJ Kelantan di hadapan Akademi Pengangkutan Jalan Wilayah Timur, di sini, malam tadi.

Mohd Misuari berkata, dalam perkembangan sama JPJ Kelantan juga giat menjalankan operasi bagi mengesan warga Rohingya yang mempunyai kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) kerana didapati turut membawa kenderaan tanpa lesen.

Menurutnya, mengikut undang-undang juga golongan berkenaan tidak dibenarkan berbuat demikian termasuk memiliki lesen membawa sebarang pengangkutan di negara ini.

Beliau turut berkongsi maklumat operasi malam tadi, yang mana sebanyak 569 buah kenderaan termasuk kereta serta motosikal dan sebanyak 188 notis dikeluarkan.

"Sebanyak 132 notis saman dikeluarkan selain 20 notis larangan penggunaan kenderaan. Selain itu, terdapat juga 20 notis arah periksa kenderaan dan 16 notis penahanan kenderaan.

"JPJ Kelantan sentiasa mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang jalan raya bagi melahirkan pemandu berhemah dan berdisiplin sekali gus mengurangkan kadar kesalah di jalan raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2024 @ 11:01 AM