Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
Mohd Amin Jalil


Seremban: Tarif baharu air bagi kategori domestik di Negeri Sembilan akan dinaikkan sehingga 29 peratus iaitu pada kadar antara 16 dan 24 sen bagi setiap meter padu bermula 1 Februari ini.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata Beliau kenaikan itu akan membabitkan empat kategori iaitu antara 16 sen hingga RM2.10 bergantung kepada kadar penggunaan meter padu air setiap isi rumah.

Katanya, kenaikan ini tidak boleh dielakkan berikutan pelbagai kos operasi air membabitkan bahan kimia selain pembaikan yang sudah meningkat.

"Untuk penggunaan domestik sehingga 20 meter padu akan mengalami kenaikan 71 sen berbanding kadar sekarang ialah 55 sen manakala antara 20 hingga 35 meter padu membabitkan kenaikan RM1.09 (85 sen) dan melebihi 35 meter padu pada kadar RM1.64 (RM1.40).

"Kadar caj minimum bagi pelarasan baharu ini ialah RM7.10 berbanding RM5 sekarang. Bagaimanapun, Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) masih memberi subsidi 93,909 akaun domestik yang menggunakan air kurang dari 20 meter padu sebulan kerana kadar baharu ini masih di bawah kos operasi SAINS (rawatan, agihan dan penambahbaikan) iaitu sebanyak RM1 per meter padu," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO di sini, hari ini.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada Disember lalu telah meluluskan Perlaksanaan Pelarasan Kadar Bekalan Air untuk kategori domestik dan Pengenaan Caj Elektrik berkuatkuasa pada 1 Februari 2024.

Aminuddin yang juga Pengerusi SAINS berkata, purata penggunaan air satu isi rumah di Negeri Sembilan ialah sebanyak 22 meter padu sebulan.

Beliau berkata, pelarasan tarif air domestik kali terakhir dilaksanakan di Negeri Sembilan adalah pada tahun 2002 iaitu 22 tahun yang lalu.

"Justeru, impak kepada kenaikan bil bulanan ini nanti adalah sebanyak RM3.68 atau 12 sen, namun kenaikan ini masih di bawah subsidi.

"Jangkaan pendapatan tambahan dari pelarasan tarif domestik kali ini adalah sebanyak RM1.2 juta sebulan (RM14.4 juta setahun) dan ia akan digunakan untuk membiayai projek-projek penambahbaikan perkhidmatan bekalan air di negeri ini.

"Selain itu, pendapatan dari pengenaan caj elektrik kepada semua kategori akaun ini akan digunakan untuk menampung Imbalance Cost Past Through (ICPT) yang dikenakan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada SAINS sebanyak 9 sen permeter padu," katanya.

Menurut beliau, sebanyak 478,836 akaun pengguna termasuk 409,219 akaun domestik di Negeri Sembilan akan terbabit dengan pelarasan tarif air yang baharu berkenaan.

Katanya, kenaikan pelarasan ini nanti diharapkan akan dapat membantu SAINS untuk memperbaiki perkhidmatan air.

"Kenaikan ini diharap dapat menampung kos sedia ada untuk beberapa tahun akan datang, malah sedia maklum kebanyakan paip air kita sudah lama yang menyebabkan kehilangan air terawat (NRW)

meningkat.

"Kita berharap dengan kenaikan ini dapat memberikan komitmen daripada pihak SAINS untuk menukar paip berkenaan terutama di kawasan yang kritikal supaya bekalan air yang terbaik dapat diberikan kepada masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 4:34 PM