Amir Abd Hamid


Shah Alam: Tokoh kewartawanan tersohor, Allahyarham Tan Sri A Samad Ismail atau Pak Samad pernah menjadi tetamu kehormat pada sambutan kemerdekaan Indonesia.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Mustapa Omar berkata, ketika itu media Indonesia juga sangat menghormati ketokohan dan ketegasan Samad.

Menurutnya, ia kejadian berlaku pada 1992 ketika dirinya bertugas sebagai koresponden Berita Harian (BH) di Jakarta dan ia pengalaman lucu yang masih segar di ingatannya.

"Tidak ramai yang tahu Pak Samad dijemput sebagai tetamu kehormat. Beliau sepatutnya tiba di Jakarta dua hari sebelum hari ulangtahun kemerdekaan Indonesia.

"Bagaimanapun berlaku sedikit salah faham menyebabkan tiada sesiapa yang menjemputnya di lapangan terbang.

"Isu timbul, Pak Samad yang sudah naik kapal terbang ke Indonesia... tetapi tak ada, tak jumpa, hilang. Saya tak tahu sebab saya dimaklumkan Pak Samad datang sebagai tetamu kerajaan akan diuruskan semuanya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berkongsi berkongsi pengalaman bersama Allahyarham Samad dalam Simposium Memperingati Tan Sri A Samad Ismail: Wartawan, Cendiakawan Awam, Negarawan di Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif  Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Mustapa Omar pada Simposium Memperingati Tan Sri A Samad Ismail: Wartawan, Cendekiawan Awam, Negarawan di Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Shah Alam. FOTO ASYRAF HAMZAH
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Mustapa Omar pada Simposium Memperingati Tan Sri A Samad Ismail: Wartawan, Cendekiawan Awam, Negarawan di Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Shah Alam. FOTO ASYRAF HAMZAH

Menurutnya, Pak Samad sebenarnya pergi bersembunyi di kediamannya serta meminta kehadirannya dirahsiakan.

"Beliau geram kerana tiada sesiapa menunggu kehadirannya sedangkan tiba sebagai tetamu negara walaupun sebenarnya ketika itu berlaku salah faham.

"Kehilangan Pak Samad mendapat perhatian ramai bukan hanya jabatan penerangan di sana, malah kedutaan Malaysia di Indonesia dan media Indonesia termasuk seorang daripada pengasas Kompas, Jakob Oetama.

"Pada masa itu pejabat saya di Kompas dan saya melihat ada tertera catatan: Kasus tokoh Malaysia hilang di Jakarta (Kes tokoh Malaysia hilang) namun di hujungnya ada simbol pangkah (X) besar iaitu arahan yang bermaksud berita itu no coverage (tiada liputan)," katanya mengimbas kisah itu.

Simposium itu dirasmikan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam.

Turut hadir dalam simposium sesi petang adalah Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Mustapa mempunyai pengalaman lebih 33 tahun dalam bidang kewartawanan, memulakan kerjaya awal di BH dan bersara pada 2017 dengan jawatan terakhir sebagai Pengarang Kumpulan Harian Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2024 @ 9:09 PM