KERETA dipercayai mengalami masalah brek sebelum terbabit kemalangan dengan dua kenderaan lain. FOTO tular Facebook
KERETA dipercayai mengalami masalah brek sebelum terbabit kemalangan dengan dua kenderaan lain. FOTO tular Facebook
Raja Noraina Raja Rahim


Kajang: Masalah brek dikatakan menjadi punca berlakunya kemalangan membabitkan tiga kenderaan sehingga mencetuskan pergaduhan di persimpangan lampu isyarat Pelangi, Semenyih di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, polis menerima laporan kemalangan 12.15 tengah hari membabitkan Proton Saga, BMW dan van sekolah.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kereta Proton Saga yang dipercayai mengalami masalah brek sebelum melanggar dua lagi kenderaan.

"Akibat kemalangan itu, seorang pelajar sekolah mengalami cedera ringan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata, kes disiasat mengikut Peraturan 17 Kaedah-Kaedah Lalulintas 167/59.

Susulan kejadian itu, beliau berkata, polis terkesan satu rakaman video berdurasi 39 saat yang tular di media sosial menunjukkan berlaku kekecohan di lokasi kemalangan.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini polis tidak menerima laporan berhubung kejadian kekecohan berkenaan.

"Individu yang terbabit kejadian pergaduhan itu diminta membuat laporan polis.

"Orang ramai juga dinasihatkan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh menyebabkan berlaku kesalahan jenayah seperti memukul," katanya.

Beliau meminta mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Narol di talian 019-5897115 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2024 @ 1:23 PM