Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun . FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun . FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Polis Kelantan merampas pelbagai jenis dadah seberat 7,914.7 kilogram (kg) dan 12,237.2 liter cecair dadah dengan nilai lebih RM175.78 juta sepanjang tahun lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata angka itu meningkat 192 peratus berbanding 2022 yang hanya bernilai RM60.19 juta.

"Sebanyak lapan sindiket pengedaran dadah membabitkan 19 individu berjaya diberkas dalam operasi terancang oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan.

"Bagaimanapun dari segi sitaan harta, berlaku sedikit penurunan pada 2023 iaitu RM4.46 juta berbanding RM4.73 juta pada tahun sebelumnya bersamaan 5.7 peratus," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Dari segi tangkapan, beliau berkata, seramai 18,331 individu ditahan di bawah pelbagai kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Akta Racun 1952 dan ADB (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 sepanjang tahun lalu dan jumlah itu meningkat sebanyak 15 peratus berbanding 2022 iaitu seramai 15,879 orang.

Daripada angka itu, seramai 89 individu diambil tindakan mengikut Seksyen 3(1) ADB (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 pada 2023 berbanding tahun sebelumnya iaitu 77 orang dan kesemua ditangkap dikenakan perintah tahanan di pusat pemulihan akhlak serta perintah sekatan.

Muhamad Zaki berkata, selain itu, seramai 897 penagih tegar yang mempunyai rekod kesalahan dadah berulang di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 sudah dituduh mengikut Seksyen 39C ADB 1952 pada 2023 berbanding 510 pada 2022.

"Berlaku penurunan dari segi tangkapan membabitkan pelajar sekolah dan penuntut institusi pengajian tinggi pada tahun lalu iaitu seramai 40 berbanding 61 pada 2022.

"Begitu juga dengan penjawat awam yang terbabit dengan pengedaran dan penyalahgunaan dadah yang hanya berkurangan seorang sahaja pada tahun lalu iaitu 33 orang berbanding 34 pada tahun sebelumnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2024 @ 9:49 AM