WAN Ahmad Dahlan (tengah) bersalaman dengan pegawai tertinggi Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia sejurus tiba sebelum mengimbas kad perakam waktu (clock-in) sebagai simbolik memulakan tugas di Jabatan Perkhidmatan Awam. Turut kelihatan, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Datuk Mohd Shaiful Ibrahim (kiri). FOTO Bernama
WAN Ahmad Dahlan (tengah) bersalaman dengan pegawai tertinggi Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia sejurus tiba sebelum mengimbas kad perakam waktu (clock-in) sebagai simbolik memulakan tugas di Jabatan Perkhidmatan Awam. Turut kelihatan, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Datuk Mohd Shaiful Ibrahim (kiri). FOTO Bernama
BERNAMA

Putrajaya: Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam yang baharu Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz memberi jaminan bahawa Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan menjadi fokus utama beliau agar dapat dilaksanakan segera.

"Insya-Allah, ini jadi fokus utama dan saya tahu ramai penjawat awam di luar sana amat mengharapkan SSPA ini menjadi satu kenyataan dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas mengetik kad perakam waktu sebagai simbolik memulakan tugas di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di sini, hari ini.

Beliau turut menyifatkan mengemudi JPA merupakan tanggungjawab yang besar terutama ketika satu sistem saraan baharu perlu disiapkan.

"Itu yang akan menjadi fokus saya dan juga pesanan daripada Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd Zuki Ali) untuk mempercepatkan lagi proses SSPA," katanya.

Wan Ahmad Dahlan berkata, aspek pendigitalan untuk perkhidmatan awam serta langkah meningkatkan daya saing penjawat awam juga menjadi keutamaan beliau.

"Melihat dari segi pendigitalan untuk perkhidmatan awam yang merupakan satu perkara baharu yang perlu diterokai penjawat awam seiring dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0 dan kecerdasan buatan, penjawat awam tidak boleh ketinggalan dan kita mesti seiring dengan perkembangan semasa," katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk memimpin JPA.

Aspek daya saing penjawat awam, katanya, turut perlu diberi perhatian kerana perkara itu ditekankan oleh Perdana Menteri agar mereka memiliki ilmu dan pengetahuan yang sesuai dengan keadaan semasa.

Wan Ahmad Dahlan berkata, beliau juga difahamkan bahawa JPA mempunyai kerangka berdasarkan Program Penempatan Silang dan ia akan ditambah baik supaya cepat memberi keberkesanan kepada program itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 5:42 PM