Alias Abd Rani

Muar: "Kalau kamu ada kesempatan, pergilah jumpa pelajar terbabit dan minta maaf," demikian nasihat Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat, sebelum menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan enam sebatan terhadap warden madrasah di daerah ini selepas mengaku salah melakukan amang seksual terhadap dua pelajarnya, November lalu dan awal tahun ini.

Habib Yusri Yusof, 45, yang berhadapan dua pertuduhan, kelihatan tenang ketika Abu Bakar membuat keputusan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan amang seksual terhadap pelajar, 14, pada 12 tengah hari, 4 Januari lalu.

Pertuduhan kedua pula, dia dituduh melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar warga Rohingya, 16, pada 7.30 pagi, November tahun lalu, dengan kedua-dua kejadian itu berlaku di madrasah tempat tertuduh mengajar.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

TERTUDUH (tengah) dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan enam sebatan kerana cabul dua pelajarnya. FOTO Alias Abd Rani
TERTUDUH (tengah) dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan enam sebatan kerana cabul dua pelajarnya. FOTO Alias Abd Rani

Hukuman bagi Seksyen 14 adalah penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan sementara hukuman tambahan bagi Seksyen 16, penjara sehingga lima tahun serta sebatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Menurut fakta kes, seorang pembantu kepada guru besar madrasah berkenaan membuat laporan polis selepas dimaklumkan dua pelajarnya diperlakukan sedemikian oleh tertuduh .

Kejadian berlaku di bangunan madrasah berkenaan selepas tertuduh memanggil mangsa masuk ke biliknya bagi membantu menyusukan barang-barang.

Ketika itulah mangsa mengambil kesempatan melakukan perbuatan keji terhadap mangsa berusia 14 tahun. Sebelum itu, mangsa juga memperlakukan perkara sama terhadap mangsa berusia 16 tahun kononnya mahu mengukur baju.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 3:44 PM