Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain ketika sidang media di Bukit Aman.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain ketika sidang media di Bukit Aman.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis membuka dua kertas siasatan terhadap dua individu berhubung kenyataan berkaitan isu Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5) JSJ Bukit Aman.

"Ia masih di peringkat siasatan. Orang ramai dinasihati supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya cakna dan prihatin terhadap isu sensitif terutama yang boleh mengundang kegusaran awam serta mengancam keselamatan negara.

Sebelum ini, media melaporkan Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham menyarankan kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undang Negeri Untuk Menggubal Undang-Undang Islam, yang ditubuhkan awal bulan ini.

Bagaimanapun, cadangannya menerima kritikan dan dianggap tidak sensitif serta berniat campur tangan dalam hal ehwal agama Islam.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi MKI turut bertitah, mengingatkan rakyat khususnya yang bukan beragama Islam agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di negara ini.

Ngeh kemudian memohon maaf pada 30 Disember lalu dan menarik semula cadangannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2024 @ 6:07 PM