MOHD Yussainy (kiri) bersama Ang Norbu yang memeterai nota kerjasama. FOTO Ihsan MGPA
MOHD Yussainy (kiri) bersama Ang Norbu yang memeterai nota kerjasama. FOTO Ihsan MGPA
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Persatuan Malim Gunung Perhutanan (MGPA) menandatangani nota kerjasama strategik dengan Nepal National Mountain Guide Association (NNMGA) sempena 18th Annual National Mountain Guide Day 2023 yang diadakan di Kathmandu, Nepal, baru-baru ini.

Pengerusi MGPA Mohd Yussainy Md Yusop berkata, kerjasama itu membolehkan kedua pihak melihat ruang yang boleh dimanfaatkan khususnya dalam pengurusan jurupandu gunung di Malaysia dan Nepal.

"Pada majlis ini, sebilangan pelatih yang layak menerima sijil Aspirant Guide yang mana mereka dibenarkan menjadi jurupandu gunung di pergunungan Himalaya.

"MGPA juga diberi penghormatan untuk memberikan taklimat mengenai pengurusan aktiviti pendakian di Malaysia kepada pengurusan tertinggi NNMGA serta jurupandu gunung yang hadir pada majlis itu," katanya kepada Harian Metro.

Dalam majlis itu, Nota Kerjasama ditandatangani bersama Presiden NNMGA Ang Norbu Sherpa.

Mohd Yussainy berkata, MGPA turut menerima jemputan hadir ke Nepal Mountain Academy (NMA) bagi menerima taklimat berkenaan program akademik yang ditawarkan oleh institusi ini bagi menampung permintaan industri pergunungan tempatan.

"Akademi yang bernaung di bawah Tribhuvan University ini menawarkan pendidikan di peringkat sijil sehingga Sarjana dalam bidang pelancongan kembaraan serta pergunungan," katanya.

Menurutnya, MGPA juga berkesempatan berkongsi modul latihan Malim Gunung Perhutanan (MGP) di Malaysia kepada pihak NMA.

"Berdasarkan perbincangan awal bersama Pengarah Eksekutif NMA Arjun Rai, pihaknya menunjukkan minat yang tinggi terhadap aspek latihan MGP dan bersetuju untuk menghantar pasukan akademiknya hadir ke Malaysia bagi melaksanakan lawatan penanda arasan latihan jurupandu gunung dan melihat aspek yang boleh ditambah baik oleh kedua pihak.

"Di Malaysia, kawasan pendakian di dalam Hutan Simpanan Kekal di Semenanjung Malaysia diurus oleh Jabatan Perhutanan Negeri-negeri termasuk urusan pengeluaran permit masuk. Berbeza di Nepal, permit pendakian bagi kawasan pergunungan dikawal selia oleh Jabatan Pelancongan (DoT)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2024 @ 8:13 PM