ANGGOTA bomba bersama Ahmad Mohd (tiga dari kiri) dan warga Kanada, Lo (dua dari kanan). FOTO Ihsan JBPM Sarawak
ANGGOTA bomba bersama Ahmad Mohd (tiga dari kiri) dan warga Kanada, Lo (dua dari kanan). FOTO Ihsan JBPM Sarawak
Mohd Roji Kawi


Kuching: Selepas sesat hampir 24 jam ketika mendaki Gunung Matang di sini, dua lelaki termasuk seorang warga Kanada ditemukan selamat, hari ini.

Dua lelaki terbabit, iaitu rakyat tempatan Ahmad Mohd Rozlan, 28 dan warga Kanada, Lo Hok Man, 37, melakukan pendakian di kawasan berdekatan Kuil Mariaman, di puncak gunung itu, semalam.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak dalam kenyataannya berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kehilangan kedua-dua mangsa pada 7.38 malam tadi.

Menurutnya, Sejurus menerima panggilan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya melancarkan gerakan mencari dan menyelamat (SAR).

Katanya, gerakan SAR berpandukan lokasi terakhir mangsa yang dihantar melalui aplikasi Whatsapp, namun pencarian dalam keadaan gelap itu gagal mengesan kedua-dua mangsa usaha kerana mereka dipercayai beredar dari lokasi itu.

"Berikutan itu pencarian ditangguhkan pada 11.48 malam tadi dan diteruskan semula pada 8.30 pagi tadi.

"Pencarian akhirnya berjaya menemui kedua-dua mangsa di lokasi yang terletak kira-kira 450 meter dari Pos Kawalan Bomba (PKB) pada 2.57 petang tadi," katanya, hari ini.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua mangsa yang tidak mengalami kecederaan namun dalam keadaan lemah berjaya dibawa keluar dan dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) oleh polis untuk pemeriksaan kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2024 @ 6:41 PM