GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Syarikat pengeluar kicap, sos, perasa makanan dan pembungkusan didenda RM6,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan gagal memanggil balik produk (Notice of Recall) Ogos lalu.

Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin memutuskan hukuman itu selepas Syarikat Haribah Industries Sdn Bhd yang diwakili pengurusnya, Fung Yuan Hing, 51, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara serentak oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kedua-dua pertuduhan itu, syarikat yang beroperasi di Bandar Sri Indah, di sini, didakwa gagal mematuhi arahan memanggil balik produk di bawah Akta Makanan 1983 seperti yang termaktub di dalam Seksyen 13C(1) Akta Makanan 1983.

Kesalahan itu dilakukan di dua premis berasingan dalam daerah Tawau antara jam 3 petang hingga 4 petang pada 14 Ogos lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 13C(1) Akta Makanan 1983 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 13C (3) Akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Pejabat Kesihatan Tawau Cassidy Kassim manakala tertuduh diwakili Peguam Jhassery P Kang.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara lima bulan bagi kedua-dua pertuduhan itu sekiranya gagal membayar denda.

Tertuduh bagaimanapun menjelaskan denda berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2023 @ 2:21 PM