DATUK Sazali Mohamad (kanan) menunjukkan rampasan sebahagian kenderaan import tanpa permit. FOTO Faiz Anuar
DATUK Sazali Mohamad (kanan) menunjukkan rampasan sebahagian kenderaan import tanpa permit. FOTO Faiz Anuar
Norzamira Che Noh


Klang: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah menyita 68 kenderaan yang tidak mempunyai permit import (AP) dianggarkan bernilai RM13.897 juta menerusi Ops Kitai 2023 pada 9 hingga 24 Ogos lalu di sekitar Pelabuhan Klang.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Datuk Sazali Mohamad berkata, rampasan itu membabitkan 46 kereta dan 22 motosikal pelbagai jenis.

"Kebanyakan kenderaan yang dirampas dari Jepun dan anggaran nilai rampasan ialah RM5.256 juta manakala jumlah duti dan cukai terbabit dianggarkan bernilai RM8.641 juta.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1957 kerana mengimport barang larangan yang pengimportannya dibenarkan dengan syarat ia tertakluk Permit Import dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri," katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Pelabuhan Utara, dekat sini, hari ini.

Sementara itu, dalam operasi bersepadu pada 14 Disember lalu, sebanyak 10 unit kenderaan pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM336,652 dengan duti dan cukai berjumlah RM626,186.75 dirampas.

Sazali berkata, kenderaan itu ditemui di sebuah bangunan terbiar yang mana ia dipercayai disorok bagi mengelak dikesan JKDM.

"Siasatan awal mendapati kesemua kenderaan ini disimpan melebihi tempoh yang ditetapkan dalam gudang berlesen dan perlu dibayar duti serta cukai.

"Ia juga tidak mematuhi syarat dalam lesen seperti peruntukan Seksyen 65(2) dan Seksyen 65(5) Akta Kastam 1967," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 138 Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2023 @ 4:53 PM