RODZI (tengah) menunjukkan ketulan mampat yang dirampas. FOTO Zuliaty Zulkiffli
RODZI (tengah) menunjukkan ketulan mampat yang dirampas. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Jitra: Dua lelaki tidak sempat mengedar lebih 10 kilogram (kg) dadah disyaki ganja selepas mereka ditahan polis dalam serbuan di kawasan parkir di RTC Napoh, di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, serbuan dilakukan pada 4.45 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah berdasarkan maklumat dan risikan.

Katanya, polis merampas beg galas daripada lelaki warga Thailand berusia 30-an yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan menemukan 10 bungkusan plastik lutsinar mengandungi 10 ketulan mampat disyaki ganja dianggarkan seberat 10.256 kilogram (kg) bernilai RM33,000.

"Mereka dipercayai pengedar dadah dan kita masih menjalankan siasatan berkemungkinan mereka mengambil dadah itu untuk diedarkan kepada sindiket tertentu.

"Lelaki Thailand itu tidak mempunyai rekod jenayah manakala suspek tempatan berusia 24 tahun beralamat dari Gemas, Negeri Sembilan itu mempunyai enam rekod kesalahan lampau sebelum ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, hari ini.

Rodzi berkata, dadah itu dipercayai dibawa masuk melalui lorong tikus dari negara jiran.

"Kita turut merampas dua motosikal dan kedua-dua suspek itu direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 25 Disember ini untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Rodzi berkata, hasil ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis methampetamine.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 1:10 PM