Latifah Arifin


Kuala Lumpur: Pegawai kanan polis yang disyaki melanggar pelajar sekolah menengah hingga maut akan didakwa Mahkamah Majistret Ipoh, pagi ini.

Jabatan Peguam Negara menyatakan, suspek yang juga berusia 44 tahun akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

"Setelah membuat penelitian ke atas hasil siasatan dan keterangan yang dikemuka dalam kertas siasatan, jabatan ini mendapati terdapat keterangan yang mencukupi bagi suatu kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap suspek.

"Suspek akan dituduh secara tentatif mengikut Seksyen 302 di Mahkamah Majistret, Ipoh, pada Isnin 18 Disember 2023. Mahkamah Majistret kemudian akan menetapkan tarikh untuk memindahkan kes terbabit ke Mahkamah Tinggi Ipoh untuk tujuan perbicaraan," katanya.

Jabatan Peguam Negara merujuk kepada kes kemalangan yang berlaku Khamis lalu, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati, di Ipoh, membabitkan sebuah kereta dipandu pegawai kanan polis dan motosikal ditunggang seorang pelajar yang maut dalam kejadian terbabit.

Penunggang motosikal, iaitu remaja berusia 17 tahun, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika itu dalam perjalanan pulang dari sekolah.

Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian ialah kecederaan di bahagian dada dan abdomen.

Sementara itu, keluarga Muhammad Zaharif melantik peguam bagi memastikan siasatan dan perbicaraan kes itu dijalankan secara telus.

Bapa mangsa, Muhd Zamrie Zainal Abidin, 55, berkata, tujuan keluarganya melantik firma guaman itu juga untuk memastikan nasib Allahyarham Muhammad Zaharif terbela.

"Saya lantik peguam ini tujuan saya, saya nak keadilan yang telus sebab saya tahu, kita sekarang sedang berurusan dengan Polis Diraja Malaysia.

"Jadi, saya nak keadilan supaya nasib anak saya terbela, supaya ia telus dan tiada selindung-selindung. Itu sahaja," katanya.

Sementara itu, peguam Datuk Wan Azmir Wan Majid dari Tetuan Hafarizam Wan dan Aisha Mubarak berkata, pihaknya dilantik keluarga mangsa untuk melihat dua perkara iaitu memastikan siasatan yang dibuat telus serta memperhalusi tindakan sivil terhadap suspek serta pihak yang terbabit supaya diambil tindakan, termasuk kerajaan dan polis.

"Setakat ini, apa yang kami buat untuk mengumpul segala bahan bukti yang ada dan melihat kembali semua video-video yang dihadapkan kepada kami dan juga mengumpul setiap saksi yang berada di tempat itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2023 @ 8:38 AM
IBU arwah kemalangan maut, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, Mimi Julia ismail, 50  kelihatan sedih sambil menunjukkan gambar arwah anaknya di kediaman keluarganya di Taman Chepor Sentosa, Chemor. FOTO BERNAMA
IBU arwah kemalangan maut, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, Mimi Julia ismail, 50 kelihatan sedih sambil menunjukkan gambar arwah anaknya di kediaman keluarganya di Taman Chepor Sentosa, Chemor. FOTO BERNAMA