ANTARA pelajar yang menerima lesen memandu secara percuma.
ANTARA pelajar yang menerima lesen memandu secara percuma.
ANTARA pelajar yang menerima lesen memandu secara percuma.
ANTARA pelajar yang menerima lesen memandu secara percuma.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil haris


Petaling Jaya: Seratus pelajar menerima lesen motosikal kelas B2 secara percuma menerusi program Prihatin Lesen Memandu Murid Sekolah Parlimen Petaling Jaya 2023, di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, program itu hasil cetusan idea Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung yang bekerjasama dengan Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya.

"Peserta dalam program ini melibatkan pelajar daripada 44 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Dato Harun dan 44 pelajar SMK Taman Medan serta 12 pelajar dalam kalangan warga IPD Petaling Jaya berusia 16 dan 17 tahun," katanya pada sidang media di SMK Taman Medan, di sini yang turut dihadiri Lee Chean Chung; Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan; dan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

Sasikala berkata, program itu diadakan bagi mengatasi masalah pelajar menunggang motosikal kes sekolah walaupun tidak memiliki lesen yang sah.

"Projek rintis ini merupakan pertama kali diadakan di Selangor hasil cetusan wakil rakyat (Petaling Jaya) dan kerjasama Institut Memandu Safety Driving Centre (SDC) Sdn Bhd.

"Ia dilaksanakan kerana pihaknya memahami kesukaran segelintir ibu bapa yang terpaksa membenarkan anak-anak mereka membawa motosikal ke sekolah.

"Isu ini menjadi kerisauan buat guru-guru terutama bagi pelajar yang tidak memiliki lesen memandu yang sah. Pihak polis juga mengesan banyak kesalahan (trafik) berlaku sepanjang Op Didik dijalankan di sini (Taman Medan/Taman Dato Harun)," katanya.

Katanya, keseluruhnya, 659 saman trafik dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik sejak Januari hingga hari ini membabitkan pelajar dari dua sekolah terbabit.

Menurutnya, antara kesalahan yang sering dilakukan termasuk menunggang tanpa lesen, tidak pakai topi keledar, cukai jalan tamat tempoh, ubah suai kenderaan, dan tiada cermin sisi.

"SMK Taman Dato Harun mencatatkan 490 saman manakala SMK Taman Medan 169 saman atas pelbagai kesalahan sepanjang tahun ini.

"Bagaimanapun masalah pelajar menunggang tanpa lesen di Selangor tidaklah mendadak (ketara) dan kita pun selalu adakan program Op Didik untuk beri kesedaran kepada pelajar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2023 @ 2:46 PM