AL-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan surat cara pelantikan jawatan sebagai Menteri Kewangan II kepada Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia oleh Menteri Persekutuan di Istana Negara hari ini. FOTO Bernama
AL-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan surat cara pelantikan jawatan sebagai Menteri Kewangan II kepada Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia oleh Menteri Persekutuan di Istana Negara hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pengalaman luas kira-kira 27 tahun di dalam sektor korporat akan dimanfaatkan sepenuhnya Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan untuk membantu membangunkan ekonomi negara sekali gus memastikan Malaysia kembali disegani di rantau ini.

Amir Hamzah berkata pengalaman dimiliki terutamanya paling terkini menerajui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selaku Ketua Pegawai Eksekutif sejak Mac 2021 akan digunakan sepenuhnya dalam usaha memperkasakan pentadbiran di Kementerian Kewangan (MoF).

Beliau berkata fokus utamanya ialah untuk membantu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membangunkan semula ekonomi di bawah kerangka Malaysia Madani.

"Saya yakin, dengan sokongan kuat semua pegawai di kementerian serta agensi berkaitan, kita mampu kukuhkan ekonomi dan terus bangkit, cuma paling penting, saya dan pasukan perlu faham apa transformasi yang perlu dilakukan untuk mencapai sesuatu sasaran yang akan ditetapkan", katanya selepas menghadiri Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara di sini hari ini.

AL-Sultan Abdullah bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bergambar kenangan bersama jemaah Menteri Persekutuan selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Rahsia di Istana Negara hari ini.
AL-Sultan Abdullah bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bergambar kenangan bersama jemaah Menteri Persekutuan selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Rahsia di Istana Negara hari ini.

Terdahulu, Amir Hamzah yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Parlimen pada sebelah pagi adalah antara lima menteri baharu yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Empat lagi menteri baharu di dalam rombakan kabinet Kerajaan Perpaduan ialah Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang kembali menerajui Kementerian Kesihatan, Ahli Parlimen Damansara Gobind Singh Deo (Menteri Digital), Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong (Menteri Sumber Manusia) dan Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Menteri Perladangan dan Komoditi).

Sementara itu Sim berkata beliau akan bekerja keras bagi memastikan kebajikan pekerja di negara ini terus terjamin selain meningkatkan kadar produktiviti, menambah peluang pekerjaan dan pembangunan bakat berkemahiran demi menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia.

"Saya akan gunakan pengalaman sepanjang jadi Timbalan Menteri di MoF, yang mana kita ada beberapa kerangka dasar dan pengurusan fiskal untuk pembangunan ekonomi melalui kerangka Madani, jadi kita akan lihat aspek itu untuk khidmat saya di kementerian baharu ini," katanya.

Dalam pada itu, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata beliau perlu mempunyai pemikiran di luar kotak untuk menerajui kementerian berkenaan.

Katanya ini kerana Kementerian Perladangan dan Komoditi adalah portfolio yang agak mencabar kerana ia antara komponen ekonomi negara ini.

"Contohnya dalam konteks pertanian dalam negara kita, pertanian negara dalam 8.9 peratus daripada kita punya GDP (Keluaran Dalam Negara Kasar) manakala perladangan dan komoditi ini lebih 50 peratus daripada sumbangan pertanian.

"Banyak perkara yang saya akan berkongsi dengan kementerian ini nanti. Kementerian ini adalah pertanian yang berbentuk skala besar jadi itu satu cabaran untuk kita tengok banyak perkara," katanya.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang kembali menerajui Kementerian Kesihatan pula berkata beliau akan memberi fokus untuk melunaskan program transformasi kesihatan yang dilakukannya ketika dalam pentadbiran terdahulu antaranya transformasi kesihatan digital dan pembiayaan kesihatan.

"Saya juga melihat penting berkenaan seperti penjagaan akut, isu-isu dan aduan berkaitan hospital dan pesakit melibatkan waktu menunggu yang perlu saya tangani, di samping kebajikan pasukan kesihatan itu sendiri daripada isu petugas kontraknya, pegawai farmasi dan keseluruhannya selain tumpu pada penjagaan galakan dan pencegahan NCD (penyakit tidak berjangkit)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2023 @ 7:51 PM