GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Lelaki bergelar Datuk yang didakwa menipu ratusan pelabur membabitkan kerugian kira-kira RM1 billion diarah oleh Mahkamah Tinggi di Malaysia dan United Kingdom (UK) untuk membayar Kumpulan Zavarco lebih RM600 juta atas pelbagai pelanggaran tugas fidusiari.

Eksekutif Pelabur, Perhubungan Pelabur Zavarco BS Maniam berkata, ia membabitkan penghakiman muktamad dari mahkamah di Malaysia dan UK terhadap individu terbabit atas pelbagai kesalahan korporat dan penyelewengan dana termasuk pecah amanah.

"Beberapa penghakiman itu termasuk sebanyak 101.5 juta Euro (kira-kira RM512 juta) di Mahkamah Tinggi UK kerana bersalah mengeluarkan saham syarikat awam (Zavarco Plc) kepada dirinya tanpa membayar balasan tunai.

"Penghakiman sebanyak RM29 juta (tidak termasuk faedah) di Mahkamah Tinggi Malaysia kerana secara salah memanipulasi akaun Zavarco Berhad untuk menuntut wang bagi dirinya sendiri sebagai bayaran balik untuk pendahuluan pengarah.

"Penghakiman RM61 juta (termasuk ganti rugi punitif dan teladan tetapi tidak termasuk faedah) di Mahkamah Tinggi Malaysia kerana melesapkan RM 12 juta wang pelabur ke dalam akaun peribadinya," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya sedang mengesan kesahihan dakwaan yang mendakwa suspek turut terbabit dalam kegiatan pelaburan.

"Sebelum ini, kami ada terima laporan dibuat seorang lelaki warga asing berkaitan isu pembelian saham didakwa tidak wujud pada 16 April 2019 dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Hasil siasatan dilakukan mendapati pengadu membuat pembayaran hampir RM40 juta ke dalam akaun diberikan suspek bagi pegangan saham dalam sebuah syarikat miliknya (suspek), namun saham dijanjikan tidak diperoleh," katanya.

Beliau berkata, suspek sudah memulangkan wang pelaburan pengadu sebanyak RM10 juta secara berperingkat selain turut menyerahkan pegangan sahamnya di sebuah syarikat berpengkalan di luar negara kepada pengadu.

"Dapatan siasatan ini kemudian dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya yang memutuskan supaya pengadu memulakan tindakan sivil bagi menuntut kerugian dialaminya.

"Bagaimanapun, pihak polis sedang dalam tindakan untuk mengesan kesahihan dakwaan yang menyatakan suspek turut terbabit dalam kegiatan penipuan pelaburan," katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan seorang lelaki bergelar Datuk didakwa menipu ratusan pelabur sehingga meraih RM1 billion hasil kegiatan penipuan pelaburan yang dilakukannya sejak beberapa tahun lalu.

Perkara itu didedahkan oleh usahawan kosmetik, Shah Abdul Malek, 51, yang memaklumkan mengalami kerugian kira-kira RM5 juta selepas wang pelaburan miliknya serta rakan dan keluarga dilesapkan individu berkenaan.

Malah, seorang ahli perniagaan dari United Kingdom, Lee Roger Meiklejohn, 50, pula mendakwa menjadi mangsa kepada Datuk terbabit selepas diperkenalkan oleh seorang broker.

Beliau mendakwa dirinya ditipu hampir 10 juta pound sterling (kira-kira RM60 juta) selepas ditawarkan untuk melabur dalam sebuah syarikat dengan pelbagai tawaran dan pulangan lumayan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2023 @ 8:40 AM