Al-Sultan Abdullah selamat pulang selepas selesai lawatan khas ke UAE. FOTO BERNAMA
Al-Sultan Abdullah selamat pulang selepas selesai lawatan khas ke UAE. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat pulang ke tanah air selepas menamatkan lawatan khas ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Istana Negara melalui perkongsian di Instagram memaklumkan, pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua dan delegasi selamat mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang jam 9.30 pagi tadi, disambut Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohd Zin.

Lawatan khas enam hari bermula 29 November itu adalah sempena Persidangan ke-28 Pihak-Pihak Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (COP28) yang bermula pada 30 November di Expo City, Dubai.

Dalam lawatan itu, Al-Sultan Abdullah berkenan menyempurnakan majlis perasmian Pavilion Malaysia di Expo City pada 1 Disember serta berangkat ke Sambutan Hari Kebangsaan UAE ke-52 atas jemputan Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan pada 2 Disember.

Selain itu, Seri Paduka berkenan mengurniakan darjah tertinggi negara, Darjah Utama Seri Mahkota Negara (DMN) dan Darjah Kerabat Sri Indera Mahkota Pahang Yang Amat Dihormati (DK Pahang) kepada Sheikh Mohamed.

Kedua-dua pemimpin turut menyaksikan beberapa pertukaran dokumen antara syarikat Malaysia dan UAE berkaitan pelaburan di dalam tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.

Dalam perkongsian berasingan, Istana Negara memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong juga berkenan menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Explorer Group Sdn Bhd dan Royal Jet LLC di Hotel Emirates Palace, Abu Dhabi, pada Isnin.

Turut hadir Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahad Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah dan Penasihat Hal Ehwal Khas di Mahkamah Presiden UAE Sheikh Mohammed bin Hamad bin Tahnoun Al Nahyan.

Hadir sama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Pengarah Eksekutif Explorer Group Datuk Shahriman Shamsuddin, Ketua Pegawai Eksekutif Royal Jet LLC Mohammed Husain Ahmed dan Duta Besar Malaysia ke UAE Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin.

Explorer Group adalah syarikat Malaysia yang mengendalikan operasi penerbangan dan juga operasi berkaitan penerbangan persendirian.

Royal Jet LLC yang berpangkalan di Abu Dhabi pula adalah syarikat perkhidmatan penerbangan mewah, operasi pangkalan tetap, perkhidmatan perundingan penerbangan, pengurusan pesawat dan perkhidmatan penyelenggaraan pesawat.

Menerusi MoU itu, kedua-dua syarikat akan bekerjasama mengendalikan operasi penerbangan swasta berpangkalan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah serta akan membuka peluang kepada Royal Jet LLC bagi pasaran penerbangan persendirian Asia Tenggara untuk operasi pangkalan tetap, sewa persendirian dan perkhidmatan penyelenggaraan pesawat.

Dalam perkongsian berbeza, Istana Negara memaklumkan, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap angkasawan UAE Sultan Saif AlNeyadi di Emirates Palace, Abu Dhabi, pada Isnin.

Sultan Saif AlNeyadi melakar sejarah sebagai angkasawan Arab dan rakyat UAE pertama berkhidmat di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) selama enam bulan dan terbabit dalam 'Expedition 69' daripada 2 Mac hingga 4 September serta mencipta sejarah sebagai angkasawan Arab dan rakyat UAE pertama 'berjalan di angkasa'.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2023 @ 4:06 PM