Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Oleh Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Setahun pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, Kerajaan Perpaduan pimpinannya berjaya melaksanakan tanggungjawab penting khususnya dalam menjaga kebajikan penjawat awam.

Perkara itu diakui Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali mewakili keseluruhan penjawat awam yang berpuas hati dengan prestasi kerajaan pimpinan Anwar.

Katanya, tahap kepuasan hati penjawat awam itu berdasarkan kajian yang dilaksanakan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (MAMPU) dan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU).

"Kita sebenarnya pernah buat kajian oleh MAMPU dan PACU dan kalau boleh saya sebut, sebagai penjawat awam, kerajaan ini berjaya melaksanakan tanggungjawabnya.

"Hasil dapatan juga mendapati secara keseluruhannya mereka (penjawat awam) berpuas hati kerana paling kritikal ialah kebajikan mereka tidak ditinggalkan," katanya pada sesi temubual bersama media di sini.

Mohd Zuki berkata, biarpun penjawat awam berpuas hati dengan prestasi pentadbiran Perdana Menteri, perkara paling penting ialah bagaimana untuk penjawat awam menggerakkan apa yang diusahakan oleh kerajaan.

Katanya, penjawat awam perlu bersama melaksanakan segala dasar dan inisiatif yang dibawa Perdana Menteri menerusi konsep MADANI dengan menterjemahkannya kepada rakyat.

"Sebab itu bukan sahaja kajian dibuat dalam penjawat awam (secara keseluruhan), di peringkat kementerian juga ada kajian di buat sama ada kakitangan di pejabat masing-masing berpuas hati dengan apa yang dilaksanakan kementerian itu sendiri.

"Jadi kita berharap dengan terjemahan sikap keprihatinan kerajaan terhadap penjawat awam, kita balas balik dengan memberikan perkhidmatan yang terbaik seperti mana digagaskan oleh Perdana Menteri dan kerajaan MADANI ini," katanya.

Selain itu, Mohd Zuki berkata, sikap Perdana Menteri memberi kepercayaan kepada penjawat awam mewujudkan rasa selesa dalam kalangan kakitangan.

"Sebab itu PM selalu sebut di peringkat awal, (dahulu) sering kali melantik perunding untuk menjalankan tugas, tapi Perdana Menteri kata tidak lagi sebab penjawat awam ada keupayaan, ada kebolehan untuk melaksanakan tugas.

"Jadi beliau beri peranan (kepada penjawat awam) dalam membangunkan negara dan apa jua pandangan penjawat awam dihargai dan pada masa sama menjaga kebajikan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2023 @ 12:14 PM