ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran yang memusnahkan beberapa rumah di perkampungan atas air di Kampung Tanjung Aru Lama hari ini.  FOTO Mohd Adam Arinin
ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran yang memusnahkan beberapa rumah di perkampungan atas air di Kampung Tanjung Aru Lama hari ini. FOTO Mohd Adam Arinin
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: "Ketika itu saya hendak makan ubat dan terasa bahang panas sebelum menyedari dinding rumah terbakar.

"Saya hanya sempat membawa beg berisi dokumen penting dan baju yang saya pakai," kata Melen Basir, 57, yang terselamat dalam kebakaran membabitkan enam rumah di hujung Kampung Tanjung Aru Lama, di sini, tengah hari tadi.

Melen yang mengalami 'ministroke', turut luka di pergelangan tangan akibat terkena bahang panas dan bernasib baik sempat keluar dari rumah yang musnah terbakar.

"Waktu itu, saya seorang diri di rumah, saya berasa pelik sebab terasa panas lalu melihat dinding rumah berasap.

"Menyedari rumah terbakar, saya segera mengambil beg berisi dokumen penting. Ketika hendak keluar saya terjatuh kerana lantai licin namun menguatkan kudrat untuk keluar menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Katanya, tiada harta benda yang dapat diselamatkan kerana keadaannya yang agak sukar untuk mengangkat beban berat.

"Ketika kejadian suami sedang bekerja manakala anak buah sekolah.

"Semuanya musnah dan buat masa ini saya diberitahu akan ditempatkan di Balai Raya Tanjung Aru," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Hamsa Isnurdini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.23 tengah hari.

Katanya, seramai 40 anggota dari beberapa Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) termasuk Kota Kinabalu, Lintas, Penampang dan Tuaran digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi memadam kebakaran.

"Pada masa sama, seramai 25 anggota Pasukan Khas Bomba Komuniti (PBK) Tanjung Aru turut menjalankan tindakan awal dengan melaksanakan operasi mengawal kebakaran di lokasi.

"Operasi pemadaman dijalankan menggunakan sumber air terbuka dan sumber air dari jentera dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.18 tengah hari

"Tindakan pantas PBK Tanjung Aru yang baharu ditubuhkan membuahkan hasil apabila mereka berjaya mengawal dan menghentikan api daripada merebak lebih besar ke kawasan perumahan lain," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, enam rumah termasuk empat musnah sepenuhnya manakala dua lagi terbakar 50 peratus.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini dan punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 4:58 PM