MOHAMED Khaled ketika mempengerusikan Persidangan Meja Bulat Bersama Majlis Penasihat Industri Politeknik (PIAC) 2023 di Sepang. FOTO Mohd Fadli Hamzah
MOHAMED Khaled ketika mempengerusikan Persidangan Meja Bulat Bersama Majlis Penasihat Industri Politeknik (PIAC) 2023 di Sepang. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Samadi Ahmad

Sepang: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperuntukkan RM15 juta bagi memperkenalkan beberapa program sijil profesional khusus bagi graduan yang masih menganggur dan sukar mendapatkan pekerjaan di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sijil profesional itu penting bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan sekali gus membantu mereka mendapatkan pekerjaan.

Katanya, sijil profesional itu termasuk berkaitan kemahiran komputer, teknologi maklumat dan sistem pengurusan data.

"KPT akan menawarkan pinjaman kepada graduan terbabit bagi mengikuti sijl profesional dan ia

antara usaha kementerian bagi meningkatkan kemahiran diri," katanya selepas menghadiri Persidangan Meja Bulat Bersama Majlis Penasihat Industri Politeknik 2023 (PIAC 2023) di Sama-Sama Hotel di sini, tadi.

Sebelum ini media melaporkan, seramai 29,000 graduan belum mendapat pekerjaan selepas enam bulan menamatkan pengajian pada 2022.

Perkara itu didedahkan Khaled dan jumlahnya berdasarkan data rasmi sistem kajian pengesanan graduan yang dikeluarkan kementerian.

Jumlah graduan yang belum mendapat pekerjaan selepas enam bulan menamatkan pengajian pada 2021 adalah seramai 41,467 atau 14.5 peratus.

Khaled berkata, KPT juga akan memastikan program pengajian yang ditawarkan di setiap universiti juga mempunyai kebolehpasaran yang tinggi.

Menurutnya, pada masa ini KPT telah membangunkan sistem data yang boleh mendapatkan maklumat dengan jelas mengenai program pengajian yang kebolehpasarannya rendah.

Katanya, kementerian akan pastikan subjek elektif yang mereka ambil di universiti itu berkait dengan kemahiran seperti sains komputer dan sebagainya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 4:29 PM