DATUK Dr Noraini Ahmad (tengah) menyampaikan sijil Program PENJANA KPT-CAP kepada salah seorang penerima, Ainaa Nadia di Majlis Penganugerahan Sijil Program Penjana Semula Ekonomi Negara Kementerian Penganjian Tinggi (PENJANA KPT-CAP) di Royal Lake Club, Taman Tasek Perdana. FOTO Eizairi Shamsudin
DATUK Dr Noraini Ahmad (tengah) menyampaikan sijil Program PENJANA KPT-CAP kepada salah seorang penerima, Ainaa Nadia di Majlis Penganugerahan Sijil Program Penjana Semula Ekonomi Negara Kementerian Penganjian Tinggi (PENJANA KPT-CAP) di Royal Lake Club, Taman Tasek Perdana. FOTO Eizairi Shamsudin
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Pasca pandemik Covid-19 menuntut graduan menguasai kemahiran digital bagi menyelesaikan masalah dengan lebih berkesan dan kreatif.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan bagi membantu meningkatkan kemahiran khususnya dalam kalangan graduan agar kompetatif berdepan dunia pekerjaan pasca pandemik ini.

Menurutnya, sebanyak RM100 juta dilaburkan Kerajaan untuk melaksanakan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara- Program Kemajuan Kerjaya Kementerian Pengajian Tinggi (Penjana KPT-CAP) sebagai usaha menangani kekejatan peluang pekerjaan dalam kalangan graduan.

"Inisiatif ini memperkenalkan dasar berbentuk intervensi berkaitan dengan peningkatan kebolehpasaran graduan.

"Seramai 20,000 graduan universiti awam, politeknik dan kolej komuniti dijangka menerima manfaat serta nilai tambah hasil daripada pelaksanaan inisiatif ini," katanya ketika berucap dalam Majlis Penganugerahan Sijil Program Penjana KPT-CAP, di sini, hari ini.

Dalam majlis berkenaan seramai 121 mahasiswa universiti menerima sijil selepas menamatkan latihan kemahiran digital Penjana KPT-CAP.

Turut hadir, Pengerusi General Assembly Malaysia (GA Malaysia) Tunku Zain Al-'Abidin Tuanku Muhriz, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Profesor Dr Roziah Mohd Janor.

Program ini adalah kerjasama antara GA Malaysia dan Pejabat Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni UiTM.

Beliau berkata, dunia pekerjaan kini tidak hanya menuntut graduan cemerlang dari segi akademik semata-mata namun perlu dilengkapi pengetahuan dan kemahiran yang tinggi di samping bersedia bersaing dalam pasaran kerja global.

Katanya, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sentiasa menyokong program dan agenda pemerkasaan kemahiran dan kebolehpasaran graduan terutamanya yang dapat memberikan peningkatan kepada kebolehan serta soft skill.

"Usaha membangunkan kursus latihan digital yang sejajar dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan pekerja digital masa hadapan akan terus dilaksanakan kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 April 2021 @ 2:04 PM