FOTO Bernama
FOTO Bernama
BERNAMA

Sadao: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, di sini bagi lawatan kerja sehari membincangkan perkara-perkara berkaitan kerjasama dua hala Malaysia-Thailand.

Perdana Menteri disambut rakan sejawatannya Srettha Thavisin.

Anwar diiringi Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin dan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.

Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan empat mata dengan Srettha, serta mesyuarat dua hala antara Malaysia dan Thailand.

Kedua-dua pemimpin kemudian akan melawat tapak titik pertemuan Projek Jajaran Jalan Menghubungkan Pusat Pemeriksaan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di Malaysia dan CIQ Sadao, Thailand yang merupakan projek dua hala yang sedang dilaksanakan kedua-dua negara.

Anwar dan Srettha juga dijadualkan untuk melawat ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah, Malaysia.

Bahagian Asia Tenggara Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, lawatan Anwar itu merupakan susulan persetujuan yang dicapai semasa lawatan Srettha ke Malaysia pada 11 dan 12 Okt lepas.

Menurut kenyataan itu ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao merupakan sempadan penting kedua-dua negara dan antara pintu keluar dan masuk utama perdagangan dan pelancongan dua hala antara Malaysia dan Thailand.

Tahun lepas, jumlah dagangan dua hala melalui ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao menjangkau RM33.67 bilion, manakala kemasukan pelancong warganegara Thailand ke Malaysia melalui sempadan berkenaan bagi tempoh Januari hingga Jun 2023 ialah seramai 212,691 orang.

Wisma Putra memaklumkan lawatan berkenaan memperlihatkan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuhkan lagi hubungan persahabatan yang baik dan erat antara dua negara berjiran, terutamanya dalam pembangunan bersama di sempadan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2023 @ 1:09 PM