PENDUDUK membantu menolak kereta yang terkandas banjir ketika tinjauan di Kampung Alor, Surau Panjang, Kuala Terengganu. FOTO Ghazali Kori.
PENDUDUK membantu menolak kereta yang terkandas banjir ketika tinjauan di Kampung Alor, Surau Panjang, Kuala Terengganu. FOTO Ghazali Kori.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan meningkat, manakala Terengganu terus menunjukkan penurunan selain Selangor menjadi negeri ketiga membuka dua PPS, setakat 8 malam ini.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 709 orang daripada 201 keluarga berbanding 531 orang daripada 144 keluarga pagi tadi.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 232 mangsa dari Pasir Mas melibatkan 79 keluarga berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, manakala 56 mangsa daripada 16 keluarga ditempatkan di SK Kedai Tanjung.

Di jajahan Bachok pula, 354 orang daripada 90 keluarga ditempatkan di SK Jelawat dan 67 orang daripada 16 keluarga mendapat perlindungan di SK Beris Panchor.

Situasi banjir di TERENGGANU semakin pulih apabila 326 orang daripada 73 keluarga berada di enam PPS di empat daerah berbanding 621 mangsa daripada 147 keluarga di 12 PPS di tujuh daerah, pagi tadi.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT), di Kuala Terengganu seramai 91 orang daripada 22 keluarga berada dua PPS manakala di Besut 176 orang daripada 39 keluarga berlindung di sebuah PPS.

Di Dungun, 50 orang daripada 10 keluarga berlindung di dua PPS sementara di Setiu, hanya sembilan mangsa berada di sebuah PPS.

Menurut JPBNT, sebanyak enam PPS di tiga daerah ditutup tengah hari tadi iaitu Kemaman, Marang dan Kuala Nerus selepas kesemua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Sementara itu di SELANGOR, dua PPS di daerah Kuala Selangor dibuka masing-masing pada Jumaat dan hari ini dengan menempatkan 83 orang daripada 29 keluarga.

Portal Info Bencana JKM memaklumkan PPS Balai Raya Rantau Panjang menempatkan 47 mangsa manakala 36 mangsa di PPS SK Sultan Abdul Aziz.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2023 @ 9:28 PM