MOHAMAD Nazmi mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh atas dua pertuduhan amang seksual ke atas kanak-kanak perempuan, yang juga pelajarnya pada Jun dan Julai lalu. FOTO L. Manimaran
MOHAMAD Nazmi mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh atas dua pertuduhan amang seksual ke atas kanak-kanak perempuan, yang juga pelajarnya pada Jun dan Julai lalu. FOTO L. Manimaran
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Seorang guru muzik mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas dua pertuduhan amang seksual ke atas kanak-kanak perempuan yang juga pelajarnya pada Jun dan Julai lalu.

Tertuduh Mohamad Nazmi Mohamaed Nazri, 39, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Ainul Shahrin Mohamad.

Berdasarkan pertuduhan lelaki itu didakwa melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak berusia 10 tahun 6 bulan.

Perbuatan itu dilakukan di Bilik Muzik sebuah sekolah rendah kebangsaan di Lorong Pegoh 4, Taman Pengkalan Jaya di sini, masing-masing pada 9.45 pagi dalam bulan Jun serta pada 10.30 pagi dalam bulan Julai lalu.

Kedua-dua perbuatan itu adalah kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang jika sabit kesalahan, setiap dari pertuduhan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan dan diletakkan di bawah pengawasan polis tidak kurang setahun namun tidak melebihi tig tahun.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu'aini Khalifah manakala tertuduh diwakili peguam, Syahrul Nizam Mohd Rabi.

Qurratu'aini tidak menawarkan jaminan supaya tertuduh tidak dapat mengganggu mangsa, namun Syahrul Nizam memohon anak guamnya dikenakan jaminan rendah, mengambil kira tertuduh sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak berusia antara tiga hingga sembilan tahun serta turut menyara isterinya.

Selain itu, Syahrul Nizam turut meminta mahkamah mengambil kira bahawa tertuduh menghidap sakit jantung dan masalah kurang darah merah.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan tarikh 20 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2023 @ 12:10 PM