GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis akan memanggil individu yang berkaitan bagi membantu siasatan kes gangguan seksual membabitkan seorang ketua pengarah sebuah agensi keselamatan seperti yang tular di media sosial, hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya sudah pun membuka kertas siasatan susulan laporan diterima, baru-baru ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan (gangguan seksual).

Katanya, kes juga disiasat mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan (kesalahan menghendap), Seksyen 292 Kanun Keseksaan (memiliki bahan lucah) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 (menggunakan perkataan kurang sopan).

"Siasatan kini dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

"Individu yang berkaitan akan dipanggil untuk siasatan kita," katanya.

Terdahulu, polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual oleh ketua pengarah sebuah agensi keselamatan terhadap seorang wanita seperti ditularkan di media sosial, hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, ketika mengesahkan perkara itu berkata, satu kertas siasatan sudah dibuka susulan laporan polis yang diterima pada 14 November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 7:32 PM