ANWAR bertemu Trudeau membincangkan kaedah memperkukuh perdagangan dan pelaburan dua hala antara kedua-dua negara. FOTO Bernama
ANWAR bertemu Trudeau membincangkan kaedah memperkukuh perdagangan dan pelaburan dua hala antara kedua-dua negara. FOTO Bernama
BERNAMA

San Francisco: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Kanada Justin Trudeau membincangkan kaedah untuk memperkukuh perdagangan dan pelaburan dua hala antara kedua-dua negara di luar Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC di sini.

Pertemuan itu adalah atas permintaan Kanada.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, selain perdagangan dan pelaburan, perbincangan itu turut tertumpu kepada kerjasama dalam aspek keselamatan siber, pendidikan, tenaga dan perubahan iklim.

Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Kanada pada 2022 berjumlah RM10.35 bilion, meningkat sebanyak 4.2 peratus berbanding RM9.93 bilion pada 2021.

Putrajaya dan Ottawa meraikan hubungan diplomatik rasmi ke-66 pada tahun ini.

Menurut Anwar, beliau dan Trudeau bertukar-tukar pandangan mengenai isu Palestin.

Dalam pertemuan itu, Trudeau menegaskan terdapat keperluan untuk melindungi rakyat dan menangani krisis kemanusiaan itu.

Perdana Menteri Kanada itu turut menyokong penyelesaian dua negara sambil menggesa kebebasan Palestin, namun pada masa sama mengulangi sokongan untuk Israel mendapat perlindungan dan memastikan keselamatannya.

Anwar menegaskan terdapat keperluan untuk menangani punca konflik itu dan menamatkan penjajahan Israel selain menekankan bahawa Israel telah melakukan pelbagai kekejaman terhadap rakyat Palestin sejak beberapa dekad lepas tanpa dikenakan hukuman dan terus membina dan meluaskan penempatan haram.

Kedua-dua pemimpin turut bersetuju bahawa konflik pada masa ini perlu dijadikan peringatan kepada komuniti antarabangsa mengenai keperluan untuk menamatkan penjajahan Israel berdasarkan penyelesaian dua negara.

Dalam perkembangan lain, Trudeau berikrar untuk melaksanakan lebih banyak usaha untuk membantu pelarian Rohingya di Malaysia, kata Anwar.

Malaysia turut mengambil peluang untuk membangkitkan isu visa dengan Kanada berikutan pelancong Malaysia perlu mendapatkan visa Kanada dengan tempoh menunggu antara empat dan enam bulan, manakala Malaysia memberikan visa ketibaan kepada pelancong Kanada.

Anwar juga berharap pengaturan timbal balas diberikan kepada Malaysia, sama seperti kemudahan visa ketibaan yang diberikan Kanada kepada jiran Malaysia di rantau ini.

Trudeau kemudiannya memberi jaminan untuk menangani keadaan itu secepat mungkin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2023 @ 4:18 PM