SYED Saddiq ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. FOTO Bernama
SYED Saddiq ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. FOTO Bernama
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Petaling Jaya: Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini mengumumkan mengosongkan jawatannya sebagai Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berkuat kuasa serta-merta.

Syed Saddiq berkata, perkara itu diputuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP) Muda pada 4 petang tadi.

"Kita semua maklum keputusan di Mahkamah Tinggi hari ini, Muda diasaskan ingin membawa politik baharu, politik yang mengangkat maruah dan berintegriti.

"Saya tidak tergolong dalam kumpulan berkenaan, selepas dibincangkan bersama, kami membuat keputusan, saya akan mengosongkan jawatan saya sebagai Presiden Muda dengan serta-merta sementara saya membersihkan nama di mahkamah," katanya pada sidang media di Pejabat Muda di sini, hari ini.

Beliau berkata, jawatan Presiden akan dipangku Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz.

"Sebaik saja mesyuarat itu berakhir, saya tidak akan membabitkan diri dan tidak akan dilibatkan lagi dengan mana-mana keputusan parti Muda dan berkait rapat dengan masa depan parti Muda.

"Namun saya tetap akan mendukung parti ini sebagai ahli dan akan terus bekerjasama dengan ahli-ahli yang lain untuk merealisasikan impian bagi membina Malaysia yang maju, bermaruah dan berintegriti," katanya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta dan dua kali sebatan terhadap Syed Saddiq selepas didapati bersalah terhadap empat tuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid memerintahkan Syed Saddiq dijatuhi hukuman penjara empat tahun sekiranya gagal membayar denda.

Bagaimanapun, hakim turut membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk menangguhkan hukuman penjara sementara rayuan dikemukakan dan mengarahkan syarat jaminan dikekalkan.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu kelihatan tenang, sejurus mendengar hukuman dijatuhkan terhadapnya oleh Azhar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 6:18 PM