Fadhlina ketika menyertai pelajar SMK Dato Ahmad Razali pada Minggu Solidariti Palestin di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad Razali, Ampang Jaya. FOTO Aswadi Alias
Fadhlina ketika menyertai pelajar SMK Dato Ahmad Razali pada Minggu Solidariti Palestin di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad Razali, Ampang Jaya. FOTO Aswadi Alias
BERNAMA

Kuala Lumpur: Dana Kemanusiaan Palestin berjumlah RM9.2 juta berjaya dikutip sepanjang pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin bermula 29 Oktober hingga 3 November lalu membabitkan penyertaan ribuan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) seluruh negara.

KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan Minggu Solidariti Palestin diadakan bertujuan mendidik murid dan warga KPM mengenai nilai manusiawi yang turut merangkumi hak asasi manusia, keamanan dan sifat ihsan.

Cek cura Dana Kemanusiaan Palestin itu sudah diserahkan kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek oleh Ketua Setiausaha KPM Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi pada Himpunan Solidariti Keamanan Sejagat yang merupakan aktiviti kemuncak dan penutup Minggu Solidariti Palestin di Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya, Jumaat lalu.

Acara anjuran KPM itu telah membabitkan 800 murid daripada institusi pendidikan KPM dan lebih 200 pegawai KPM bagi menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin serta menyokong nilai keamanan sejagat.

Antara pengisian utama acara berkenaan termasuk deklamasi sajak, persembahan lakonan dan nyanyian serta pidato kemanusiaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 9:47 AM