AHMAD Zahid disambut mesra ketika hadir pada program Santunan Kasih Deepavali di Kompleks Umno, Hutan Melintang. FOTO Bernama
AHMAD Zahid disambut mesra ketika hadir pada program Santunan Kasih Deepavali di Kompleks Umno, Hutan Melintang. FOTO Bernama
Muhamad Lokman Khairi


Bagan Datuk: Sekurang-kurangnya 67 daerah di seluruh negara dikenal pasti sebagai kawasan berisiko dilanda banjir menjelang Monsun Timur laut (MTL) yang dijangka bermula pertengahan bulan ini.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah itu berdasarkan data dan penilaian Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Beliau berkata, suatu koordinasi sudah dilaksanakan melalui mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bersama semua agensi penguatkuasaan terbabit.

"Nadma sudah bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk mewujudkan pusat pemindahan kekal (PPK) di sekolah yang selama ini digunakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) untuk dibangunkan dewan PPK.

"Di sana, tandas dan juga tempat mandi disediakan sepenuhnya mengikut jumlah potensi mangsa banjir berdasarkan rekod Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah. Ini (PPK) kita lakukan di tempat yang sudah dikenal pasti sebagai kawasan yang sering dilanda banjir.

"Berdasarkan MetMalaysia dan JPS, terdapat sekurang-kurangnya 67 daerah di Semenanjung, Sabah dan Sarawak," katanya kepada pemberita pada Majlis Santunan Kasih Deepavali di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan turut menyediakan jambatan Bailey sebagai persiapan aspek infrastruktur di kawasan kritikal yangdijangka dilanda banjir besar.

"Nadma sendiri sudah menempah tujuh jambatan Bailey tambahan dan pemasangannya dilakukan oleh jurutera Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) di peringkat negeri dan Kementerian Kerja Raya (KKR) di peringkat pusat.

"Kesiapsiagaan ini termasuklah juga dari segi bantuan dikemukakan oleh badan bukan kerajaan (NGO) yang sudah kami selaraskan kerana kami menjangkakan MTL bermula pertengahan November ini dan akan berakhir pada pertengahan Mac 2024," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2023 @ 7:43 PM