Ariffin (kanan) meninjau  tanda harga pada Sidang Media dan Pelancaran Jualan Rahmah Perdana sempena Sambutan Deepavali Peringkat Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias
Ariffin (kanan) meninjau tanda harga pada Sidang Media dan Pelancaran Jualan Rahmah Perdana sempena Sambutan Deepavali Peringkat Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur akan melancarkan program Jualan Rahmah secara terus kepada golongan B40 bermula bulan depan.

Pengarah KPDN Kuala Lumpur Ariffin Samsudin berkata, program berkenaan akan dilaksanakan dua kali sebulan secara berjadual di 33 lokasi bertumpu di kawasan penempatan golongan berpendapatan rendah atau B40.

"Objektif perlaksanaan program ini bagi membolehkan golongan sasaran iaitu B40 membeli barangan keperluan pada harga jauh lebih murah di kawasan sekitar rumah.

"Mereka tidak lagi perlu bergerak jauh memandangkan barangan seperti beras, minyak masak, sardin dan lain-lain boleh dibeli di kawasan rumah di trak jualan," katanya selepas merasmikan Program Jualan Rahmah di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras, di sini, hari ini.

Ariffin berkata, pihaknya juga akan berkolabrasi dengan MyGrocer dan KK Mart yang mempunyai rangkaian kedai runcit di lokasi sasaran khususnya di perumahan awam dan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

"Dengan adanya kolaborasi daripada dua syarikat ini, diharap akan ada lebih banyak lagi syarikat lain yang tampil untuk berkerjasama bagi menjayakan program ini.

"Dari segi barangan yang dijual, kita akan jual barang sama seperti beras, minyak masak, sardin, telur, ayam sama seperti Jualan Rahmah.

"Sebelum ini, kita ada jual ayam dan daging tetapi berdasarkan tinjauan kita, jualan bahan mentah itu tidak memberansangkan. Ramai yang mahukan barangan seperti sardin dan bihun kerana ia boleh disimpan lama," katanya.

Beliau berkata, program Jualan Rahmah mendapat sambutan mengalakkan daripada orang ramai khususnya golongan B40 apabila hampir semua barang jualan di setiap lokasi habis dijual.

"Boleh dikatakan kira-kira 90 peratus barang jualan habis dijual meskipun penganjuran program itu dibuat pada hari bekerja dan bukan hari gaji," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2023 @ 2:04 PM